Utusan Malaysia: Selangor alami lonjakan ekonomi

KLANG: Selangor bakal meraih lonjakan ekonomi ketara tahun ini apabila mencapai 45 peratus daripada sasaran perolehan negeri pada suku pertama tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dalam tempoh itu Selangor selaku penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memperoleh RM893.11 juta.
“Sehingga 15 Mac, pentadbiran ini berjaya mengutip RM893.11 juta, iaitu hampir 45 peratus daripada sasaran keseluruhan bagi tahun ini. Ini kita berjaya kutip dalam tempoh kurang daripada tiga bulan pertama ini
“Ia tanda keyakinan rakyat dan komuniti perniagaan terhadap pentadbiran ini yang mengemudi negeri hampir lima tahun sebelum kita memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri Daerah Klang semalam.
Justeru beliau yakin pencapaian itu menjadi kekuatan Pakatan Harapan (PH) berdepan PRN dan berharap pencapaian tersebut berterusan.
Amirudin memaklumkan, perolehan tersebut membolehkan kerajaan negeri memberikan insentif khas kepada kakitangan awam Persekutuan yang berkhidmat di Selangor.
“Saya telah mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2023 juga kepada penjawat awam Persekutuan seperti guru, polis dan lain yang berkhidmat di Selangor. Mereka akan menerima manfaat insentif ini iaitu sebanyak RM200.
“Ini dibuat julung kalinya di negeri ini dan didorong atas kejayaan prestasi pungutan hasil Kerajaan Negeri dalam tiga bulan pertama tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN