Sinar Harian: Selangor terima RM60 bilion pelaburan
SHAH ALAM - Kejayaan membawa pelaburan RM60 bilion tahun lalu adalah hasil daripada sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menjadi teras ekonomi di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, disebabkan pelabuhan dan lapangan terbang yang wujud menjadikan sektor teras penting dan ia juga menjadi penampan kepada ekonomi ketika pandemik.
Menurutnya, sektor penghantaran makanan barangan dan makanan yang menjadi aspek dalam e-dagang begitu diperlukan untuk menyambung hidup ketika pandemik telah berjaya menstabilkan kedudukan ekonomi negeri agar tidak jatuh teruk.
"Biasanya kalau ekonomi negara kita jatuh negatif lima peratus, biasanya Selangor akan jatuh lebih besar iaitu tujuh hingga sembilan peratus.
"Tetapi kali pertama pada tahun 2020, negatif kita adalah 5.6 peratus, Selangor mencatatkan lebih baik negatif 5.2 peratus ini disebabkan sektor perkhidmatan yang baik dan persediaan kita dari segi aspek digitalisasi," katanya
Beliau berkata demikian pada program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Karangkaraf pada Isnin.
Tambahnya lagi, Selangor menerima pelaburan besar RM3 bilion daripada sebuah syarikat dari Australia berkenaan data. RM2 bilion lagi dari sebuah syarikat di Seksyen 15 Shah Alam ini bukti kestabilan ekonomi di Selangor dan kestabilan pelaburan yang wujud.
"Memang kadang-kadang angka pelaburan kita rendah berbanding Johor yang mencecah RM70 bilion tahun ini, tapi kalau kita ukur dari segi peluang tenaga kerja Selangor sentiasa menyumbang tenaga kerja terbesar.
"Setakat ini sudah lima tahun kita berjaya hasilkan 89,000 peluang pekerjaan yang turut menjemput migrasi ataupun kehadiran ramai masyarakat dalam dan luar negara," jelasnya.
Mengulas lanjut berkenaan langkah Selangor memperkasakan keselamatan makanan, Amirudin berkata, pihaknya telah wujudkan tiga kawasan pembandaran baharu.
"Salah satunya ialah Sabak Bernam Developmen Area (Sabda), sebahagian besar adalah kawasan pertanian yang kita mahu bangunkan khususnya untuk keselamatan makanan.
"Walau bagaimanapun kita masih menunggu laporan kajian impak alam sekitar (EIA) kerana ia melibatkan kawasan tanah gambut dan itu adalah kawasan yang sangat sensitif.
"Kita tidak mahu peranan tanah gambut itu terkesan terutamanya bila kawasan itu terlibat dengan pertanian," katanya.
Jelas Amirudin, saiz guna tanah yang agak kecil untuk pertanian ini memerlukan peningkatan dari segi kualiti, teknologi untuk pengeluaran.
"Sebagai contoh di Sekinchan, adalah tempat pertama di Malaysia yang mengeluarkan padi lima kali dalam tempoh dua tahun," ujarnya.
Smart Sewa: 3,000 hingga 4,000 rumah menjelang 2026
Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan mempunyai 3,000 hingga 4,000 rumah di bawah Program Smart Sewa menjelang 2026.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata program Smart Sewa diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada golongan muda termasuk pasangan baru berkahwin memiliki tempat untuk berlindung sementara.
Menurutnya, di dalam dasar Rumah Selangorku 3.0, Kerajaan Selangor telah mengembalikan rumah dua bilik dan rumah satu bilik.
"Bukannya kita nak kembalikan kehidupan bersempit-sempit, tetapi kita memahami realiti untuk mereka yang baru berkahwin, orang yang baru ada satu anak tidak memerlukan bilik yang banyak.
"Smart Sewa ini adalah rumah sebelum anda layak beli rumah. Anda sewa selama lima tahun, selepas itu, kita pulangkan 30 peratus daripada sewaan anda sebagai deposit awal tambahan simpanan yang boleh dibuat untuk membeli rumah," katanya.
Jelasnya, dasar mengenainya telah diluluskan dan dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi rumah satu dan dua bilik dapat dilaksanakan untuk memberi peluang kepada pasangan-pasangan muda untuk miliki rumah.
"Kita faham harga hartanah di Selangor agak mahal, jadi kita bantu mereka ini sekurang-kurangnya mempunyai tempat untuk berlindung," ujarnya.
Ditanya berkenaan dengan sikap sambil lewa syarikat utiliti atau telekomunikasi yang gagal menurap jalan dengan baik selepas dikorek, Amirudin berkata tindakan boleh diambil kerana syarikat berkenaan membayar deposit kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Jika kerja turapan tidak memuaskan kita akan gunakan wang deposit mereka untuk tampal 'end-to end' jalan berkenaan," katanya.
Berkenaan jalan berlubang, Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan laporan aduan menggunakan Twitter bagi membolehkan proses memantau, mengenalpasti dan membaiki jalan rosak dapat dengan lebih pantas dan berkesan.
"Proses ini akan diambil tindakan oleh Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar sejak Mac 2022 untuk memastikan jalan yang rosak dapat segera dibaikpulih di Selangor," katanya.
Terapkan budaya kerja berpasukan
Pendekatan musyawarah dan bekerja satu pasukan dalam pentadbiran Selangor membantu ke arah kecemerlangan dan peningkatan ekonomi negeri iti.
Amirudin berkata, kerja berpasukan yang dititik beratkan telah berjaya membawa kejayaan negeri itu.
Menurutnya, berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu bukan mudah tanpa penglibatan dan kerjasama semua pihak.
"Kita berjaya harungi dan berdepan cabaran itu dengan penuh jaya, saya dapat membawa pasukan saya iaitu exco kerajaan negeri, ahli dewan negeri, ahli-ahli majlis, penjawat-penjawat awam dari institusi kerajaan negeri untuk bekerja bersama-sama saya.
"Ia bukan mudah, tapi dengan data terkini kemampuan kita dari segi kutipan hasil, kemampuan kita yang stabil dan masih meningkat setip tahun, ia melegakan saya," katanya.
Tambahnya lagi, dengan aspek kebajikan negeri diberi perhatian dengan penumpuan sedikit berbeza dengan penekanan diberi menerusi aspek kelestarian.
"Kita mungkin bukan tahu semua benda, tapi semangat ingin belajar itu saya tekankan, dengar pandangan juga satu nilai yang saya tetapkan," ujarnya lagi.
Selangor sedia jadi mediator bantu pemandu e-hailing
Kerajaan Selangor bersedia untuk menjadi mediator atau pengantara bagi membantu pemandu e-hailing yang berdepan masalah terutamanya membabitkan ketiadaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Amirudin berkata, kerajaan negeri terbuka untuk menjadi sekretariat yang boleh dirujuk untuk membela kebajikan golongan pemandu e-hailing itu.
"Tentang masalah pemandu-pemandu e-hailing yang membawa penumpang seperti Grab terutamanya, saya faham tentang masalah (yang dihadapi mereka) itu.
"Hal ini saya akan tekuni (teliti) dan cuba selesaikan sekali ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan pengendali-pengendali e-hailing (tidak lama lagi)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penonton pada program Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama beliau yang dihoskan selebriti, Azhar Sulaiman dan bersiaran secara langsung dari Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
Ahli Parlimen Gombak itu menegaskan, sebagai ahli Dewan Rakyat juga beliau akan memperjuangkan penggubalan akta untuk membenarkan pemandu e-hailing menubuhkan kesatuan demi memudahkan golongan itu membuat sebarang tuntutan berhubung kebajikan mereka.
Menurutnya, ia juga akan memudahkan perhubungan kerajaan dengan pekerja e-hailing kerana golongan terbabit juga merupakan penyumbang kepada pembangunan negara dan negeri.
Sementara itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua mengesyorkan supaya kerajaan Persekutuan menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi kepada pekerja yang terlibat dalam sektor pengurusan sampah yang turut dikategorikan sebagai pekerja 3D (sukar, bahaya dan kotor).
"Suatu ketika dahulu kerajaan Persekutuan pernah meletakkan gaji minimum untuk pengawal keselamatan, jadi saya rasa hal berkaitan pekerja 3D atau pengutip sampah ini juga boleh dibuat.
"Mungkin rakan saya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) boleh teliti perkara ini atau Kementerian Sumber Manusia boleh melihat satu garis panduan mengenainya.
"Walaupun ia sedikit menekan syarikat pengendali tetapi ia akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan capaian kita dengan teknologi," ujarnya ketika ditanya tentang usaha kerajaan negeri untuk menaik taraf sektor pembersihan awam di negeri terbabit.