Media

Peristiwa
16/7/24
Selangor

Selangor Kini: Yayasan MBI salur RM500,000 bantu institusi, mangsa bencana negeri


KAJANG, 15 JULAI: Sebanyak RM500,000 disalurkan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI setakat ini bagi membantu mangsa bencana di seluruh negeri ini.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan itu diagihkan secara terus daripada MBI kepada mangsa atau melalui wakil rakyat kawasan masing-masing.

“Kita peruntuk RM1 juta tahun ini bagi membantu mangsa yang berdepan musibah atau bencana sama ada banjir, ribut dan kebakaran. Setakat hari ini, hampir RM500,000 telah diagihkan kepada semua mangsa.

“Agihan bantuan ini tidak hanya tertumpu kepada kediaman atau individu sahaja tetapi turut diberikan kepada masjid, surau dan sekolah yang turut ditimpa musibah,” katanya ditemui selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada sembilan mangsa banjir dan ribut di pejabat wakil rakyat Kajang di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Azri bersama Ahli Dewan Negeri Kajang Cheong Kian Young menyerahkan sumbangan wang tunai masing-masing bernilai RM1,000 kepada penerima yang disumbang MBI.

Mengulas lanjut, Ahmad Azri memaklumkan, MBI menubuhkan yayasan sendiri bagi memudahkan rakyat memberi sumbangan sekali gus terlibat dalam program bantuan dan menyantuni golongan memerlukan.

“Kita menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan dan membantu, tetapi MBI tidak menerima sebaliknya menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Oleh itu, pengurusan memutuskan menubuhkan Yayasan MBI yang mempunyai pengurusan dan entiti tersendiri. Ini membolehkan rakyat dan syarikat menyumbang serta terlibat sama dalam program santuni rakyat,” katanya.

Sementara itu, Hamzah Abdul Wahab, 63, berkata kediaman yang diduduki sejak 90an dilanda ribut dan banjir pada pertengahan Mac lalu sehingga mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

“Ketika kejadian saya, isteri dan anak kurang upaya berada di rumah sebelum terkejut apabila ribut dan hujan melanda sehingga atap terbang. Barangan dalam rumah seperti komputer riba, sofa turut rosak.

“Saya menggunakan wang simpanan untuk membaiki atap rumah dan kosnya mencecah RM3,000. Alhamdulillah, sumbangan diterima MBI dan surau sedikit sebanyak dapat membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Derni Hayati Hassan Basri, 59, menyifatkan sumbangan diterima MBI pada hari ini dapat merealisasikan impiannya untuk melihat rumahnya di Kampung Bukit Dukung Dalam baik seperti sebelum ini.

“Apabila rumah saya dihempap pokok, suami baiki sedikit demi sedikit bahagian rumah yang dihempap pokok kerana kosnya agak tinggi.

“Apabila mendapat sumbangan ini, saya akan gunakannya untuk beli siling dan atap. Tidak sabar untuk lihat rumah dibaik pulih, terima kasih MBI atas sumbangan diberikan,” katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.