Inisiatif

Ekonomi
3/1/23
Selangor
KDNK

Selangor Kini: Tawar insentif galak pelaburan, rancak pembangunan negeri - EXCO


SHAH ALAM, 2 JAN: Kerajaan Selangor menawarkan pelbagai insentif untuk menarik pelabur susulan pertumbuhan ekonomi global yang diramal perlahan tahun ini.


EXCO pelaburan berkata insentif ditawar berbentuk pengurangan cukai selain penyusunan semula bayaran premium yang bakal memikat pelabur sekali gus merancakkan pembangunan negeri.

“Apabila Kerajaan Negeri merancang projek (pembangunan), kita sebenarnya telah mengambil kira kelembapan ekonomi yang mungkin berlaku pada 2023. Sebab itu kita memikirkan cara terbaik adalah dengan memberikan insentif menarik,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika dihubungi hari ini.

“Pelabur akan melihat di mana pembangunan melibatkan kos lebih rendah, jadi untuk tarik pelabur kita mesti menawarkan sesuatu yang dapat mengurangkan kos pembangunan.

“Dalam keadaan ekonomi yang baik kita tidak perlu menawarkan insentif sebegini, namun disebabkan ada kekangan ini (kelembapan ekonomi), kita menyahut cabaran (beri insentif).”

Beliau menambah projek pembangunan seperti Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Gerbang Maritim Selangor (SMG) akan memacu ekonomi negeri dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

“Kita harap sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sehingga 30 peratus pada 2025 dengan adanya projek terbabit berbanding 24.8 peratus ketika ini.

“Pada masa sama berharap projek berkenaan akan mempamerkan satu kejayaan memandangkan ia mengambil antara tiga hingga lima tahun untuk siap disebabkan kawasan besar,” katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.