Selangor Kini: PKNS laksana projek peremajaan Shah Alam, lonjak jadi segi tiga emas
SHAH ALAM, 4 JUN: Projek SA Central melibatkan peremajaan beberapa bangunan di bandar ini bakal melonjak ibu negeri itu sebagai segi tiga emas yang membawa manfaat ekonomi untuk perniagaan tempatan
Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata projek yang turut diisi elemen budaya dan sejarah juga akan dilengkapi dengan teknologi hijau seiring matlamat pembangunan mampan.
“Projek ini akan memperkukuhkan status Selangor sebagai pusat ekonomi. Kita bangunkan dengan pelbagai lagi. Kita sediakan perpustakaan, cafe, tapak niaga. Barangan lama berkait negeri ini juga akan dipamerkan dan semua ini akan dibuat para usahawan
“Shah Alam ini banyak terkait dengan sejarah dan budaya. Jadi budaya lama seperti joget akan kita bawa ke sini. Di SA Central ini, semua benda akan ada malah lebih banyak perkara menarik kita sediakan,” kata Dato’ Mahmud Abbas pada sidang media.
Terdahulu beliau menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) MyDeco dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Syed Ahmad Taufik Albar.
Pada April, Dato’ Menteri Besar berkata projek peremajaan merangkumi bangunan SACC Mall, Plaza Perangsang, Kompleks PKNS serta Menara MRCB bermula hujung tahun dengan melibatkan kos sebanyak RM2 billion.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, projek secara berperingkat itu dijangka siap antara lapan ke 10 tahun dengan matlamat merancakkan ekonomi kawasan terbabit memandangkan ia merupakan ibu negeri.
Selangor juga bakal mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya meliputi empat bandar raya menerusi peruntukan RM2 juta.
Lembah Klang Raya menggabungkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang berpotensi menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara dan mampu tersenarai antara lima lembah utama Asia.