Suara

Ekonomi
31/5/24
Selangor
KDNK

Selangor Kini: Pertumbuhan ekonomi, pelaburan sokong matlamat RS-1, bantu negeri tingkat sumbangan KDNK

SHAH ALAM, 30 MEI: Pencapaian ekonomi Malaysia yang berkembang 4.2 peratus melebihi anggaran unjuran 3.9 peratus pada suku pertama 2024 memberi manfaat kepada Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di bawah kerangka ekonomi Madani menyokong matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6.5 peratus hingga 7 peratus.

“Prestasi ekonomi negara ini juga membantu Selangor meningkatkan sumbangan KDNK Malaysia sebanyak 30 peratus menjelang 2025.

“Ia termasuk membawa pelaburan langsung diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lalu dan RM76.1 bilion setakat Mac 2024,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api yang dijangka memberi penjimatan hingga RM4 bilion setahun membolehkan lebih banyak dana disalurkan untuk projek pembangunan di Selangor.

“Penyelarasan subsidi diesel dan pengapungan harga ayam ini juga memberi ruang kepada Kerajaan Negeri melaksanakan program kebajikan di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dan projek infrastruktur.

“Selain itu, sokongan dana RM1 bilion oleh Khazanah Nasional membuka peluang kepada usahawan mengembangkan perniagaan dalam bidang sains hayat, agroteknologi dan aeroangkasa mengikut matlamat RS-1,” katanya.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri akan menggandakan usaha agar segala peningkatan dan manfaat yang diterima melalui pencapaian ini digunakan secara optimum untuk kelestarian ekonomi negeri.

Berikut manfaat lain yang diterima Selangor hasil pencapaian ekonomi negara pada suku pertama 2024:

1) Peruntukan tambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SAR) mengurangkan kemiskinan relatif di Selangor.

2) Pembangunan industri tenaga melalui Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) menyokong usaha rendah karbon seperti terkandung dalam RS-1.

3) Penyasaran subsidi menjimatkan kos pengurusan air dan menumpukan pelaksanaan projek penting seperti pembersihan Sungai Klang.

4) Penubuhan Fakulti Kecerdasan Pembuatan (AI) negara meningkatkan kemahiran dan pendapatan anak Selangor melalui latihan serta pendidikan.

5) Penambahbaikan tadbir urus melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) membantu negeri melaksanakan tadbir urus Smart Selangor lebih berkesan dan telus untuk pengurusan projek di bawah RS-1.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.