Selangor Kini: MBI edar 10,000 kupon digital di bazar Ramadan, galak agenda pendigitalan
SHAH ALAM, 4 JAN: Sebanyak 10,000 Kupon Digital Rahmah akan diedar kepada orang ramai sempena kempen Platform Selangor (PLATS) yang diperluas ke bazar Ramadan tahun ini.
Ketua tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan komunikasi korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata inisiatif itu bagi menggalakkan lagi agenda pendigitalan.
“Kempen PLATS Masuk Pasar diperkenalkan tahun lalu kini diperluas ke bazar Ramadan dalam mempromosinya secara digital sekali gus membantu meningkatkan pendapatan peniaga berdaftar bawah PLATS.
“Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mencadangkan satu lokasi terpilih untuk diagihkan kupon tersebut. Bagaimanapun, nilai setiap kupon itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” kata Ahmad Azri Zainal Nor dihubungi.
Tambahnya, selain mengedarkan kupon tersebut, MBI juga akan bekerjasama dengan PBT dalam kempen dianjurkan seperti galakan membawa bekas makanan dan alam sekitar.
PLATS diperkenal pada Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.
Ia merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu golongan perusahaan kecil mikro sederhana untuk mengadaptasi digitalisasi dalam perniagaan.
PLATS juga memperkenalkan inisiatif baharu iaitu program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital.
Dalam meneruskan agenda pendigitalan, tahun lalu, PLATS memperkenal Kempen PLATS Masuk Pasar yang diadakan selama dua bulan di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dengan mengedar sebanyak 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5.