Selangor Kini: MBI beri tuala wanita percuma kepada pelajar kurang mampu mulai Mac
SHAH ALAM, 5 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menjalankan program kemiskinan haid kepada pelajar kurang berkemampuan (B40) bermula Mac ini.
Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata projek perintis program itu bakal dilaksanakan di lima hingga 10 sekolah menengah terpilih sekitar Gombak dan Kuala Selangor.
“Program ini julung kali kita lakukan. Kita akan pilih pelajar menerusi data Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang kita ada.
“Jadi, PTRS akan mempunyai nilai tambah baharu kerana PTRS bukan hanya sekadar memberi pelajaran, tetapi juga hal kebajikan lain,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Selangorkini.
Jelas beliau, pelajar yang terpilih dalam projek perintis itu akan diberikan sekeping kad yang boleh digunakan di mesin layan diri (vending machine) bagi mendapatkan tuala wanita percuma.
Menurutnya penggunaan kad itu bertujuan untuk mengetahui kadar penggunaan bagi tujuan analisis data, selain mengelakkan pembaziran.
Dato’ Menteri Besar sebelum ini berkata Selangor muncul negeri pertama memperkenal inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma selain mengadakan kempen kesedaran bagi menangani kemiskinan haid.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut menumpukan golongan B40, pelajar dan penduduk miskin bandar dengan dana RM200,000.