Selangor Kini: MB rai ulama besar Mesir, guru pondok seluruh negara
SHAH ALAM, 21 MEI: Kira-kira 450 tetamu termasuk 200 guru agama pondok di seluruh negara menghadiri jamuan Mahabbah Ulama-Umara anjuran Kerajaan Negeri dan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
Majlis yang disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut diserikan dengan kehadiran jemputan khas iaitu bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah.
Program dimulakan dengan bacaan selawat dan ucapan Dato’ Menteri Besar sebelum diteruskan dengan syarahan oleh Dr Ali Jum’ah bertajuk Hubungan Pemerintah dan Ulama.
Ucapan tersebut diterjemahkan oleh Ustaz Ahmad Faiz Mohd Khalil dari Akademi Pemikiran Turath Al Mustanir.
Majlis kemudian diakhiri dengan pertukaran cenderahati antara Amirudin dengan Dr Ali Jum’ah.
Dato’ Menteri Besar menerima senaskhah al-Quran bertinta emas tulen sementara ulama besar Mesir itu mendapat kain sarung tenunan tangan yang sering dipakai oleh kiai.
Dr Ali Jum’ah antara tokoh ulama antarabangsa dan tempatan yang berada di negara ini sempena Festival Turath Islami Selangor antara 20 hingga 25 Mei.
Program anjuran Kerajaan Negeri itu bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan tentang kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.
Festival telaah karya Imam al-Ghazali antara usaha menyemarak minat peserta terhadap pemikiran ilmuwan agung sekali gus mengangkat peradaban Islam.