Selangor Kini: MB ketuai delegasi promosi Pameran Udara Selangor di UK
SHAH ALAM, 20 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengetuai delegasi Kerajaan Negeri dalam misi mempromosi Pameran Udara Selangor di United Kingdom.
Menerusi Facebook rasminya, beliau berkata promosi dibuat melalui platform Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough (FAI) yang berlangsung dari 18 hingga 22 Julai.
“Antara lain sempat bermesyuarat dengan Dassault Systèmes’ untuk meneroka ruang kerjasama melibatkan Kerajaan Negeri melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor,” katanya.
Dalam lawatannya, Amirudin turut berpeluang mempersembah taklimat ringkas berhubung perkembangan aeroangkasa di Selangor kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Menurutnya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berkunjung ke Pavillion Malaysia yang diselenggara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Invest Selangor.
“Di kesempatan yang sama saya turut menyempurnakan upacara prapelancaran Selangor Aero Park sebagai pengenalan umum kepada khalayak yang hadir di FAI,” katanya lagi.
Pameran Udara Selangor 2022 dijadual berlangsung selama tiga hari mulai 8 September dengan sasaran potensi nilai transaksi RM700 juta.