Media

Ekonomi
20/12/23
Selangor

Selangor Kini: 1,300 calon sertai Karnival SPM Selangor, bantu pelajar lulus, cemerlang



SHAH ALAM, 19 DIS: Seramai 1,300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 terpilih menyertai Karnival SPM Selangor (KSS) anjuran Yayasan Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Ketua Unit Komunikasi Yayasan Selangor Norhayati Umor berkata program dua hari bermula semalam itu julung kali diadakan dan memberi fokus kepada pelajar berpotensi untuk cemerlang dan lulus.

Beliau berkata peserta KSS terdiri daripada murid Tingkatan Lima aliran Sains dan Sastera yang dinilai sendiri oleh guru masing-masing dari 40 sekolah seluruh Selangor.

“Penceramah KSS adalah dalam kalangan guru cemerlang di Selangor yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam subjek masing-masing,” katanya.

KSS yang mendapat kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Majlis Guru Cemerlang Malaysia dan AskGuru, meliputi 12 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Prinsip Perakaunan, Sains, Ekonomi, Perniagaan, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik dan Biologi.

Norhayati berkata peserta akan mendapat akses kepada aplikasi AskGuru secara percuma sehingga tamat peperiksaan SPM, antara lain mengandungi tuisyen dalam talian, buku ulang kaji, kandungan pengajaran dari guru cemerlang dan seminar percuma.

Sementara itu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jawa, Mya Shahima Samsul Hanizam berkata menerusi program itu beliau menerima banyak ilmu baharu dan panduan untuk mengingati pembelajaran secara mudah.

“Saya beruntung dapat menyertai program ini secara percuma kerana jarang program seperti ini diadakan di sekolah saya. Jadi bila dapat peluang ini saya gunakan sebaiknya,” katanya.

Bagi Al-Irfan Azuhuri Mustaqim dari Asrama Yayasan Selangor, Klang, program itu banyak memberi petua dan bimbingan untuk membantunya menghadapi peperiksaan SPM.

Guru pengiring dari SMK Taman Klang Utama, Maslihah Hashim berkata walaupun disertai lebih seribu pelajar, program dapat diadakan dalam keadaan selesa dan berjalan lancar.

“Pengisian yang diberi oleh penceramah adalah baik memandangkan mereka ada pengalaman mengajar dan menanda kertas peperiksaan, jadi mudah untuk mereka menyampaikan ‘tips-tips’ terakhir menghadapi SPM,” katanya.

– BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.