Selangor Kini: Hijrah salur RM92.37 juta, bantu hampir 6,000 usahawan kembang niaga
SHAH ALAM, 2 NOV: Seramai 5,795 usahawan menerima manfaat pembiayaan perniagaan RM92.37 juta daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sejak Januari hingga September.
Eksekutif Promosinya Muhammad Ihsan Mohammad Rosdi berkata jumlah pembiayaan itu membabitkan tujuh skim ditawar meliputi i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.
“Alhamdulillah, dana disediakan pihak kami melegakan usahawan baharu termasuk sedia ada yang mengalami masalah modal untuk memajukan perniagaan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau menasihati peminjam supaya membuat bayaran balik mengikut jadual bagi memberi peluang kepada usahawan lain memperoleh manfaat sama.
Muhammad Ihsan menegaskan nama peminjam yang gagal berbuat demikian akan dihantar ke unit kawalan kredit untuk tindakan lanjut.
“Jadi kita mohon jasa baik mereka buat bayaran mengikut jadual ditetapkan. Melalui bayaran balik pinjaman, kita mampu membantu usahawan baharu yang memerlukan modal pusingan.
“Pegawai di peringkat cawangan menghubungi mereka untuk memberi peringatan. Jika kita belum terima bayaran selepas itu, unit kawalan kredit menggunakan satu ejen kutipan untuk mendapatkan semula wang pinjaman,” katanya.
Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM120 juta khusus untuk pembiayaan kepada usahawan selain mewujudkan skim baharu bawah Hijrah yang menyediakan pinjaman sehingga RM100,000.