Selangor Kini: Hanya bayar RM20, Pasar Mesra manfaatkan ribuan penduduk B40
SHAH ALAM, 13 OKT: Lebih 2,500 penduduk kawasan perumahan kos rendah menerima manfaat menerusi inisiatif Pasar Mesra yang diperkenal sejak September lalu.
Pasar basah yang menggunakan pendekatan jual beli memerlukan masyarakat membayar serendah RM20 bagi nilai barangan RM60, kata EXCO kesejahteraan bandar.
Barangan tersebut meliputi dua ekor ayam, 30 biji telur, sayur-sayuran dan buah-buahan setiap satu seberat dua kilogram, jelas Rodziah Ismail.
“Berkonsepkan pasar subsidi, penduduk yang layak diberi kupon melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB) terlibat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata pasar itu menyasarkan tiga kelompok masyarakat iaitu petani dan penternak ayam, usahawan yang membeli dan menguruskan barangan serta penduduk berpendapatan rendah (B40).
Beroperasi pada hujung minggu mulai 8 hingga 11 pagi, sebanyak 10 pasar diwujudkan di Shah Alam, Bangi, Kajang dan Ampang sebelum diperluas ke seluruh negeri dalam tempoh terdekat.
Program tersebut turut melibatkan kerjasama antara Bingkisan Mesra Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).