Selangor Kini: Ekonomi Selangor terus pesat, pemangkin prestasi negara
SHAH ALAM, 6 JULAI: Ekonomi Selangor terus berkembang pesat dan menjadi penyumbang utama kepada kemakmuran negara. Sumbangan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) Selangor kepada Malaysia meningkat kepada 25.5 peratus pada 2022.
“Pertumbuhan ini paling tinggi dan sumbangan tertinggi Selangor kepada KDNK negara sejak Pakatan Harapan diberi amanah mentadbir negeri ini pada tahun 2008,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 27 Jun.
“Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia juga, pertumbuhan ekonomi Selangor melebihi pertumbuhan paras nasional sebanyak 3.2 peratus, iaitu sebanyak 11.9 peratus berbanding 8.7 peratus pertumbuhan kadar nasional.”
Dalam tempoh lima tahun sejak 2018, sumbangan KDNK Selangor kepada Malaysia meningkat daripada 23.7 peratus kepada 24.3 peratus pada 2020, sewaktu negara berdepan pandemik Covid-19.
Rekod ini lebih baik daripada pentadbiran Dato’ Seri Azmin Ali sebelumnya yang menurun, antara 22.4 peratus hingga 23.0 peratus sahaja, berbanding era Tan Sri Khalid Ibrahim yang mencatatkan sumbangan KDNK 21.8 peratus hingga 23.7 peratus.
Selangor juga sering mendahului pertumbuhan KDNK Malaysia dalam tempoh lima tahun mutakhir, termasuk ketika pandemik menjejaskan ekonomi di seluruh dunia dengan teruk pada 2020 dan 2021.
Pada 2018, Selangor bertumbuh 6.8 peratus tetapi ekonomi negara 4.7 peratus. Ketika wabak Covid-19, negeri ini merekodkan pertumbuhan -5.3 peratus, lebih baik sedikit daripada negara -5.6 peratus.
Pada 2021, Selangor mula berkembang kembali dengan pertumbuhan 5.0 peratus, manakala ekonomi negara pada tahap 3.1 peratus.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa sukacita Baginda ketika pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 13 Mac tahun ini.
“Beta ingin menzahirkan rasa syukur dengan prestasi kewangan semasa Kerajaan Beta. Beta dimaklumkan 2022 adalah tahun yang cemerlang bagi Negeri Selangor apabila mencatat jumlah kutipan hasil tertinggi dalam tempoh enam tahun dan turut mencatatkan sumbangan terbesar kepada KDNK Malaysia, iaitu 24.8 peratus (pada 2021).
Zahirkan penghargaan
“Kutipan hasil negeri pada 2022 telah merekodkan angka sebanyak RM2.533 bilion, melebihi sasaran awal iaitu RM2.05 bilion dan lebih tinggi berbanding angka kutipan yang direkodkan tahun 2021 iaitu sebanyak RM2.284 bilion.
“Beta turut berbangga apabila pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2021 mencatat angka 5.0 peratus mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional pada 3.1 peratus,” titah Baginda di sidang DNS terakhir penggal ke-14.
“Beta menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran pimpinan memanda Dato’ Menteri Besar yang berjaya mengemudi negeri ini dengan semangat ‘Kita Selangor’ dalam menghadapi krisis kesihatan, krisis ekonomi dan krisis politik.”
Kemajuan Selangor inilah yang mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam mempertahankan pentadbiran sekarang yang berupaya melonjakkan ekonomi negara.
“Saya mengharap betul-betul kepada saudara-saudari (penjawat awam di negeri ini) kerana Selangor ini kubu Kerajaan Perpaduan.
“Saya harap saudara-saudari faham keperluan kita pertahankan bukan kerana sentimen (kepartian) atau jaminan upah tetapi kerana negeri ini (Selangor) yang mencatat kemajuan terbaik selain daripada Sarawak.
“Bukan sekadar kekalkan kerajaan yang ada. Kita sokong kerana kita tahu prestasinya dan komitmen untuk selamatkan negara kita,” katanya dalam pertemuan dengan kakitangan kerajaan dan pemimpin masyarakat pada 12 Jun.
Perdana menteri juga mengajak semua penjawat awam sebagai tonggak negeri supaya berani untuk mengembalikan maruah dan imej Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.
“Kembalikan maruah kita sebagai negara hebat dan buktikan dengan usaha kita dalam setahun, dua, atau tiga tahun ini. Angkat martabat Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.
“Tengok prestasi Selangor, boleh (dan) boleh lagi kita angkat kerana Selangor ada peranan penting dalam pertahankan induk dan kekuatan ekonomi negara. Sebab itu ramai orang hendak rampas. Jangan bagi peluang (pembangkang) mencelah,” kata Anwar.
Untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri melancarkan pelan pembangunan menyeluruh selama lima tahun Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antara 2021 hingga 2025.
Pelan ini mensasarkan KDNK Selangor berkembang secara purata antara 6.5 hingga 7.0 peratus setahun untuk mencapai sasaran guna tenaga 3.5 juta hingga 3.8 juta dalam tempoh tersebut.
Dengan kemajuan ini, Selangor mensasarkan pendapatan isi rumah penengah penduduk meningkat lagi kepada RM9,290 sebulan.