Selamat Hari Deepavali 2021
PERUTUSAN HARI DEEPAVALI
3hb November 2021
Vanakkam, En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal!
Saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh warga Selangor yang menyambut perayaan cahaya ini, khususnya komuniti Hindu dan Sikh.
Kita semua berbesar hati dan dapat menghela nafas lega kerana sambutan Deepavali kali ini dapat diraikan dengan keluarga dan kawan-kawan tersayang setelah bergelut dan berhadapan dengan lockdown dan shutdown selama hampir dua tahun.
Sebagai perayaan pertama yang diraikan dalam keadaan aktiviti-aktiviti sosial dibenarkan beroperasi secara penuh setelah pandemik COVID-19 melanda awal tahun 2020, wajar kita menelusuri makna asal Deepavali yang saya kira hadir tepat pada waktunya.
Di selatan India, masyarakat beragama Hindu menyambut Deepavali sebagai tanda kesyukuran terhadap Dewa Krishna.
Menurut mitologi di sana, Naraka – seorang raja yang kejam – menindas dan menakutkan rakyat. Setelah rakyat memohon pertolongan, Dewa Krishna bertempur dengan Naraka dan mengalahkannya, sekaligus membunuh si Naraka setelah bertarung selama empat belas hari.
Itu sebabnya Deepavali juga dikenali sebagai Naraka Chathurdasi yang membawa maksud ‘hari keempat belas Naraka’.
Setelah berjaya keluar dari zaman yang dipenuhi kegelapan yang mengerikan, pengakhiran era Naraka membawa cahaya kepada kehidupan masyarakat di sana yang menjadi simbolik menerusi lilin dan lampu yang dinyalakan sewaktu perayaan Deepavali.
Di bahagian utara India pula, epik Ramayana merupakan asas kepada sambutan perayaan ini. Dewa Rama dari Ayuthya, menuntut haknya sebagai raja setelah dihalang oleh syaitan Ravana selama empat belas tahun. Setelah mengalahkan Ravana, Dewa Rama pulang dengan isterinya Sita dan adiknya Lakshmana.
Masyarakat tempatan menyambut kepulangan Dewa Rama dengan menyalakan barisan lilin serta mercun yang juga merupakan erti kata perkataan Deepavali yang berasal dari perkataan Sanskrit, iaitu ‘dipa’ yang bermaksud lampu atau lilin, manakala ‘avali’ bermaksud barisan atau siri.
Dalam erti kata lain, Deepavali disambut dengan begitu meriah kerana ia membawa maksud pengakhiran kegelapan dan permulaan masa hadapan yang cerah, serta kebaikan mengalahkan kegelapan.
Erti Deepavali boleh dikatakan sama dengan situasi yang sedang kita hadapi. Hampir dua tahun hidup dengan kegelapan yang berpunca dari penularan wabak COVID-19.
Dengan keterbukaan dan kesedaran anda untuk melindungi diri dan keluarga dengan mengambil dos vaksin yang lengkap, kini kita melihat sedikit cahaya yang mula muncul apabila aktiviti-aktiviti ekonomi serta sosial dibuka, dan rakyat boleh merentas daerah dan negeri untuk mengunjungi keluarga dan kawan-kawan.
Namun, kita harus bertanggungjawab dan tidak alpa dengan terus mengamalkan kawalan kendiri seperti memakai pelitup muka, menggunakan ‘hand sanitiser’ dan cuba sebaik mungkin untuk kekalkan penjarakan fizikal agar kita tidak kembali ke zaman lockdown seperti sebelum ini.
Bagi masyarakat India khususnya, Kerajaan Negeri Selangor juga telah mengusahakan beberapa perkara bagi memelihara kelangsungan hidup dan membuka peluang pekerjaan. Antaranya, Program Pembangunan Usahawan India Selangor atau SITHAM yang dilengkapi empat program kesusahawanan, iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan dan program bantuan peralatan perniagaan ataupun geran.
Sehingga bulan Oktober lalu, lebih 2,000 peserta telah menyertai program ini.
Tambahan kepada itu, Kerajaan Negeri menginsafi kepentingan keterhubungan komuniti dalam kalangan masyarakat India. Aspek itu mendorong Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bilangan Ketua Komuniti India dari 48 kepada 62 di seluruh negeri Selangor.
Pada 26hb November 2021, saya akan membentangkan Belanjawan Selangor 2022 yang akan mengandungi beberapa usaha selaras dengan detik sektor ekonomi sudah mula dibuka.
Saya pasti peluang pekerjaan menjadi pemberi harapan serta penjamin kelangsungan hidup. Aspek ini akan menjadi antara fokus utama dalam merangka Belanjawan ini dengan harapan ia mampu memberikan booster kepada ekonomi negeri Selangor.
Saya mengambil peluang ini untuk sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Deepavali bagi seluruh masyarakat Hindu dan Sikh di negara yang kita cintai, terutamanya bagi penduduk negeri Selangor.
Saya pasti perayaan kali ini disambut dengan meriah dan penuh semangat.
En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal!
__
DATO' SERI AMIRUDIN SHARI
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR