Metro: Pendapatan Selangor tidak terjejas walaupun tempoh PRN panjang
Pelabuhan Klang: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberi keyakinan pendapatan negeri tidak akan terjejas meskipun tempoh pilihan raya negeri (PRN) mengambil masa panjang.
Amirudin berkata, kerajaan negeri menerusi mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini meluluskan lebih 400 pelbagai kertas kerja dalam usaha menangani perkara berkenaan.
"Itu kita sudah atasi sebahagiannya sebab baru-baru ini kita buat MMKN Khas yang mana kita meluluskan 450 kertas kerja sebab pengalaman yang lepas apabila berlaku pilihan raya, kertas ini lambat (mendapat kelulusan)... bukan lambat apa tetapi masa itu tidak sesuai untuk diluluskan.
"Kalau Ogos (jangkaan PRN) tidak mengapa, kita pun ada masa yang lebih panjang untuk menyusun, merangka, memilih, merangka strategi... saya ingat panjang atau pendek ada baiknya," katanya ketika diminta mengulas sama ada pendapatan negeri terjejas berikutan tempoh PRN lebih panjang.
Jelas beliau, kerajaan sementara tidak digalakkan membuat sebarang kelulusan malah sangat berhati-hati dengan perkara sebegini.
"Kita tidak boleh luluskan tanah dan sebagainya sebab hal itu dianggap sebagai perubahan dasar.
"Jadi (perkara ini) banyak memberi kesan kepada pendapatan kita pada 2018, pada 2018 pendapatan kita cuma RM1.8 bilion... jauh dari pencapaian kita yang melebihi RM2.3 bilion, RM2.4 bilion," katanya.
Dalam pada itu katanya, Selangor merekodkan rizab berjumlah RM3.4 bilion setakat dua bulan lalu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kuarters Kerja Berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim.
Mengulas mengenai pembinaan CLQ pula katanya, setiap unit CLQ yang dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air dan tempat makan khusus akan disewakan dengan anggaran yuran bulanan RM350 seorang demi menjamin kebajikan pekerja migran.
"Bayaran itu terpulang, tetapi biasanya kita berurusan dengan syarikat sebab syarikat pegang permit pekerja. Tambahan pula, permohonan untuk dapat pekerja asing dimohon oleh syarikat.
"Syarikat juga mudah kawal pekerja mereka sekiranya tidak datang kerja, sakit atau ada masalah. Jadi mereka boleh tahu di mana pekerja itu tinggal," katanya.
Ketika ucapan pula Amirudin mengingatkan kontraktor terpilih melaksanakan kerja pembinaan CLQ mengikut jadual dan spesifikasi ditetapkan.