Media

Polisi
8/12/23
Selangor
Isu

Kosmo: Masjid, surau Selangor perlu sediakan penyata kewangan tahunan beraudit

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) agar memastikan semua masjid dan surau di seluruh negeri ini menyediakan penyata kewangan tahunan beraudit untuk diperiksa dan dan disemak.

Titah baginda, pengurusan perolehan juga perlu diurus dengan tatakelola yang betul agar tidak melibatkan ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Pentadbir masjid dan surau yang tidak mengambil berat terhadap pengurusan aset akan menyebabkan masyarakat kurang yakin tentang kredibiliti dan integriti pentadbiran mereka."

“Justeru, beta berharap pentadbir masjid dan surau dapat mematuhi serta melaksanakan semua ketetapan yang telah digariskan di dalam garis panduan ini,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masjid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Baginda menjelaskan, garis panduan ini sangat bersesuaian dengan keperluan semasa dan disusun dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan tahap tatakelola dan tadbir urus yang cekap.

Justeru, Sultan Sharafuddin berharap MAIS dan JAIS dapat melaksanakan program latihan yang intensif dan berterusan dengan menerapkan kaedah latihan yang bersesuaian dengan latar belakang pentadbir agar garis panduan itu dapat difahami mereka.

“Beta yakin masjid dan surau yang mempunyai sistem pengurusan kewangan yang baik akan lebih diyakini dan akan terus mendapat kepercayaan masyarakat untuk terus memberi sumbangan dan infaq mereka.

“Buku garis panduan ini juga diharap akan menjadi rujukan untuk meningkatkan kualiti pengurusan kewangan bagi mengangkat integriti serta kemuliaan masjid dan surau sebagai institusi masyarakat yang dihormati melalui amalan tatakelola yang kemas dan teratur,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.