Amirudin Shari: Tindakan Tegas Terhadap PATI, 602 Ditahan di Taman Sri Muda!
Tindakan Tegas Banteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Selangor
Pada 3 Oktober 2024, dalam salah satu Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang saya pengerusikan, saya telah mengeluarkan arahan tegas untuk membanteras jumlah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Selangor. Berikutan itu, satu operasi khas yang diketuai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor telah dijalankan tengah hari tadi di Seksyen 25, Taman Sri Muda, Shah Alam.
Operasi yang melibatkan tujuh agensi termasuk PGA Briged Tengah, IPK Selangor, Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam, serta Majlis Bandaraya Shah Alam telah memeriksa 1,091 individu. Hasilnya, seramai 602 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan melanggar Akta Imigresen 1959.
Pihak Jabatan Imigresen Malaysia akan menjalankan siasatan lanjut terhadap kesemua individu yang ditahan, sementara mereka ditempatkan di Depoh Imigresen. Kerajaan Negeri Selangor memandang serius isu keselamatan, ketenteraman awam, dan kesihatan awam, dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan sistem perundangan negara ataupun mengambil kesempatan ke atas peruntukan imigresen.
Saya ingin menegaskan bahawa operasi ini bukan berdasarkan prejudis atau xenophobia, tetapi dilaksanakan secara berkala dan tegas bagi memastikan undang-undang di Selangor dipatuhi sepenuhnya.
#AmirudinShari
#MenteriBesarSelangor
#PATI
#MajlisKeselamatanNegara
#Selangor