Amirudin Shari: Selangor Perkukuh Pendidikan Negara dengan Tekad Reformasi Pendidikan
Peluncuran Program Tekad Reformasi Pendidikan di Selangor
Alhamdulillah, pada 7 Oktober 2024, satu lembaran sejarah baharu terlakar melalui peluncuran Program Tekad Reformasi Pendidikan, yang merupakan sinergi bersama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Negeri Selangor. Agenda Reformasi Pendidikan ini bertujuan untuk meningkatkan usaha mencapai standard global seperti yang telah termeterai dalam kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Fokus utama reformasi ini tertumpu kepada enam bidang penting: Pendidikan Digital, Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris, Intervensi Kurikulum, Pendidikan STEM, Pendidikan TVET, dan Pendidikan Prasekolah. Semua ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, bagi mempersiapkan pelan pembangunan pendidikan baharu.
Di Selangor, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif melalui pelbagai program pendidikan seperti Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Bantuan Pentadbiran PIBG #KitaSelangor, Baucar Buku #KitaSelangor, dan Jerayawara Siswa #KitaSelangor, yang dilaksanakan bersama dengan Yayasan MBI. Semua ini bertujuan untuk memperkasakan sektor pendidikan dan memastikan pelajar Selangor terus berdaya saing serta berprestasi tinggi.
Saya amat berbesar hati dengan kehadiran Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek, yang menggambarkan sinergi antara KPM dan Kerajaan Negeri dalam usaha memajukan pendidikan negara. Selangor akan terus menjadi pasak utama dalam memperkukuh pendidikan negara demi kepentingan generasi akan datang.
Insya-Allah, melalui Tekad Pendidikan #KitaSelangor dan Reformasi Pendidikan Kerajaan Persekutuan, kami yakin usaha ini akan memberi impak yang signifikan dalam melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing, kreatif, dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
#AmirudinShari
#MenteriBesarSelangor
#KitaSelangor
#TekadPendidikan
#MalaysiaMADANI