Isu Stadium Shah Alam (SSA)

Polemik isu Stadium Shah Alam (SSA) bukanlah baru bagi saya. Semasa saya menjawat EXCO Pembangunan Belia dan Sukan di mana saya merupakan Pengurus Pasukan Bola Sepak Selangor, saya telah melihat sendiri keadaan daif SSA. Isu dan keadaan SSA amat dekat di hati saya, tambahan pula kenangan dan memori memenangi Piala Malaysia terakhir bersama pasukan Merah Kuning di SSA.

Saya memahami keluhan serta kekecewaan peminat bola sepak Selangor serta rakyat Selangor dengan keadaan Stadium Shah Alam (SSA) ketika ini. Banjir besar yang berlaku pada 2006, 2015 dan 2021 telah mengakibatkan kerosakan kepada SSA. Sejak 2013 hingga 2022, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM56 juta bagi membaiki dan membaik pulih SSA antaranya bumbung, bilik persalinan, sistem pendawaian elektrik serta sistem saliran air. Oleh kerana saiznya yang besar serta kebanyakan bahan gantian yang mahal, kos menyelenggara ini semakin meningkat. Dijangkakan kos keseluruhan bagi membaik pulih dan menaik taraf kesemua fasiliti mencecah RM787 juta. Ini adalah berdasarkan laporan serta kajian terperinci yang terbaru pada tahun lalu.

Ramai yang beranggapan bahawa kos RM 787 juta ini adalah kos membina stadium yang baru. Ini tidak benar. Ada juga yang mempersoalkan kenapa jumlah terlalu besar untuk membaikpulih keseluruhan stadium. Ini adalah kerana kos ini termasuk kos meninggikan platform stadium sebanyak 1.5 meter bagi mengelak kejadian banjir berulang, kos keseluruhan bagi menukar sistem pendawaian elektrik, kos menukar keseluruhan struktur bumbung dan meruntuhkan struktur bumbung sedia ada, kos pembaikan padang serta kos membaiki sistem perpaipan.

Setelah meneliti kesemua cadangan dan kertas kerja yang diterima sejak 2013, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk melaksanakan pembangunan baru Kompleks Sukan Shah Alam. Ini turut mengambil kira kos membaik pulih yang terlalu tinggi serta kekangan yang dihadapi. Pembangunan baru ini tidak melibatkan sebarang dana Kerajaan Negeri, akan menumpukan kepada teknologi hijau dan mesra alam serta memberi wajah baru kepada SSA.
Ini adalah era baharu dan detik bersejarah buat seluruh rakyat Negeri Selangor.
__
YAB Dato' Seri Amirudin Shari
Dato' Menteri Besar Selangor