Suara

Ekonomi
28/6/23
Selangor
KDNK

Berita Harian: Sumbangan Selangor kepada KDNK terus meningkat - Amirudin

SHAH ALAM: Selangor melakar sejarah pada hari ini apabila sumbangan negeri kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu melebihi satu per empat ekonomi negara iaitu 25.5 peratus.

Pencapaian ini menunjukkan peningkatan 0.7 peratus berbanding sumbangan kepada KDNK negara pada tahun 2021.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pertumbuhan ini paling tinggi dan sumbangan tertinggi Selangor kepada KDNK negara sejak Pakatan Harapan mentadbir negeri ini pada 2008.

"Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga, pertumbuhan ekonomi Selangor melebihi pertumbuhan paras nasional sebanyak 3.2 peratus, iaitu sebanyak 11.9 peratus berbanding 8.7 peratus pertumbuhan kadar nasional.

"Selangor adalah satu daripada empat negeri yang mencatat pertumbuhan ekonomi melebihi paras nasional selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Pahang.

"Sektor pembuatan Selangor kini menyumbang satu per tiga daripada keseluruhan industri pembuatan di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 9 peratus tahun lalu, manakala sektor pembinaan melebihi satu per tiga daripada aktiviti seluruh negara iaitu bersamaan dengan 34.1 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sektor perkhidmatan Selangor pula terus rancak dan mencatatkan pertumbuhan paling tinggi berbanding mana-mana negeri iaitu sebanyak 13.6 peratus tahun lalu.

"Saya amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini kerana kejayaan hebat ini hanya terhasil daripada kebersamaan, ketekunan, dan perancangan pasukan saya dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta pasukan penjawat awam yang begitu komited untuk memacakkan kedudukan Selangor sebagai enjin ekonomi Malaysia ke arah menjadi negeri terunggul di Asia Tenggara.

"Kejayaan sebegini juga membuktikan keyakinan komuniti pelabur dari dalam dan luar negara terhadap pentadbiran negeri Selangor yang terus beriltizam untuk mengemudi negeri paling maju di Malaysia secara telus dan adil sambil memudahcara urusan perniagaan agar orang Selangor terus mempunyai peluang pekerjaan bergaji tinggi serta bermaruah.

"Pencapaian prestasi pertumbuhan ini dapat menjamin kemakmuran Selangor sebagai gedung ekonomi Malaysia dan menjadi paksi kepada kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.