Berita Harian: Selangor sasar pelaburan komersial RM1 bilion
KLANG: Selangor menyasar pelaburan komersial berjumlah RM1 bilion menerusi projek pembangunan Gerbang Maritim Selangor (SMG), terutama membabitkan projek pembangunan Sungai Klang menjelang 2030.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Sungai Klang dan kawasan tebingnya mempunyai potensi besar yang boleh membuka pelbagai peluang bernilai tinggi kepada pelabur dan usahawan.
Katanya, kerajaan negeri sedang berunding dengan beberapa pihak bagi melaksanakan aktiviti ke arah memacu usaha menghidupkan semula Sungai Klang.
"Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari hulu iaitu di pusat beli-belah Mid Valley hingga ke muara sungai di Pelabuhan Klang.
"Kita sudah mengenal pasti lokasi seluas 242.81 hektar di sepanjang pesisir sungai itu yang berpotensi untuk dibangunkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau dan menyusuri sungai itu serta melawat Taman Awam Pangkalan Batu, yang juga satu daripada projek pemangkin di bawah SMG seliaan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin.
Amirudin berkata, empat teras utama meliputi pembersihan sungai, ketersambungan sungai, pembangunan dan pemuliharaan sungai turut dikenal pasti sebagai pemacu utama bagi SMG,
"Semua projek ini disasarkan akan siap menjelang tahun 2030, selari dengan aspirasi Smart Selangor yang bermatlamat menjadikan negeri ini sebuah bandar pintar paling sesuai didiami yang terkemuka di Asia Tenggara," katanya.