Berita Harian: Pulau Pinang, Selangor, Johor sumbang 68 peratus dagangan
PUTRAJAYA: Pulau Pinang, Selangor dan Johor menyumbang 68 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia bagi bulan November 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM231.8 bilion pada November 2023 dengan nilai eksport sebanyak RM122.1 bilion dan import bernilai RM109.7 bilion pada bulan lalu, kata DOSM dalam satu kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri November 2023 yang diterbitkan hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi eksport Malaysia pada November 2023 menurun sebanyak RM7.6 bilion atau -5.9 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata, penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM5.4 bilion), Selangor (-RM2.4 bilion), Sarawak (-RM1.6 bilion), Terengganu (-RM869.1 juta),
Melaka (-RM755.1 juta), Labuan (-RM704.8 juta), Pahang (-RM308 juta), Negeri Sembilan (-RM164.2 juta), Perlis (-RM29.9 juta) dan Kuala Lumpur (-RM 9.9 juta).
"Walau bagaimanapun, katanya nilai eksport meningkat di Johor sebanyak RM3 bilion, Kedah (RM929.2 juta), Perak (RM540.8 juta), Sabah (RM472.3 juta) dan Kelantan (RM18.6 juta).
Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29 peratus, diikuti oleh Johor (22.6 peratus), Selangor (16.9 peratus), Sarawak (8.3 peratus) dan Kuala Lumpur (5.7 peratus).
Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata import pada bulan November 2023 meningkat RM1.8 bilion (1.7 peratus) berbanding bulan yang sama pada 2022.
Beliau berkata, peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Kuala Lumpur (RM2.7 bilion), Negeri Sembilan (RM1.4 bilion), Pahang (RM1.1 bilion), Sabah (RM514.3 juta), Selangor (RM492.7 juta), Johor (RM197.1 juta), Melaka (RM114.4 juta) dan Terengganu (RM109.4 juta).
Walau bagaimanapun, katanya nilai import jatuh di Pulau Pinang sebanyak RM3.9 bilion, Labuan (-RM280.2 juta), Kedah (-RM78.8 juta), Sarawak (-RM60.9 juta), Kelantan (-RM43 juta), Perak (-RM15.9 juta) dan Perlis (-RM6.2 juta).
"Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 26.5 peratus, diikuti oleh Johor (20.6 peratus), Pulau Pinang (20.4 peratus), Kuala Lumpur (9.4 peratus) dan Kedah (5.6 peratus).