Berita Harian: Malaysia berpotensi jadi negara berpendapatan tinggi mulai 2027
PUTRAJAYA: Malaysia berpotensi menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 dan seterusnya jika ekonomi berkembang empat hingga lima peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh kepada RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, ekonomi negara berpotensi berkembang dengan baik dan berada dalam sektor masa depan seperti kemampanan tenaga, pembangunan pusat data dan pengeluaran cip elektronik melangkaui penggunaan sedia ada.
Katanya, potensi Malaysia sememangnya ada dengan mengambil kira masa depan dunia yang dikendalikan kecerdasan buatan (AI).
"Masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada Malaysia sekarang ini untuk melihat sama ada kita boleh guna kelebihan ini untuk berada di hadapan.
"Kalau kita (ekonomi negara) terus berkembang pada empat hingga lima peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh RM4.20 sedolar dalam beberapa tahun akan datang, Malaysia akan menjadi negara maju dan negara berpendapatan tinggi dari 2027 ke seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi (Be) 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Mengenai potensi Malaysia menjadi kuasa ekonomi Asia atau bergelar 'Harimau Asia', Rafizi berkata, ukuran untuk digelar sebagai 'Harimau Asia' bukan dilihat dari segi jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu mengambil kira unjuran lain seperti KDNK perkapita, kompleksiti ekonomi, pengeluaran untuk eksport dan kemampuan menjadi hab kewangan antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau berkata tidak ada definisi khusus untuk digelar sebagai 'Harimau Asia'.
Namun, jelasnya, adalah lebih mudah mengukur mengikut piawaian antarabangsa seperti negara berpendapatan tinggi yang lazimnya disamakan dengan negara maju.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi yang memberangsangkan adalah petunjuk bahawa Malaysia sedang mencatat kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status Harimau Asia.
Katanya, beliau juga telah menerima maklum balas positif berhubung prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh semasa pertemuan dengan pelabur dan penganalisis, mereka menyatakan keyakinan mengenai pertumbuhan masa depan negara.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, Banci Ekonomi 2023 menunjukkan terdapat 1,091,867 pertubuhan yang beroperasi pada 2022, dengan kadar pertumbuhan tahunan 2.5 peratus berbanding banci terdahulu yang dijalankan pada 2016 bagi tahun rujukan 2015 dengan sebanyak 920,630 pertubuhan.
Beliau berkata, sejumlah 951,862 pertubuhan atau 87.2 peratus tertumpu dalam sektor perkhidmatan, diikuti dengan sektor pembinaan (71,062 pertubuhan atau 6.5 peratus) dan sektor pembuatan (54,505 pertubuhan atau 5.0 peratus).
Katanya, sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian kedua-duanya menyumbang selebihnya, masing-masing dengan 12,998 dan 1,440 pertubuhan.
"Nilai output kasar bagi keseluruhan sektor ekonomi berjumlah RM3.8518 trilion pada 2022, meningkat 6.4 peratus setiap tahun.
"Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan yang kukuh bagi sektor pembuatan dengan 7.5 peratus, mencatatkan RM1.8937 trilion berbanding RM1.142 trilion pada tahun 2015 dan didorong oleh subsektor Produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
"Ini diikuti dengan sektor perkhidmatan, yang meningkat 5.7 peratus kepada RM1.4266 trilion dan sektor perlombongan & pengkuarian meningkat 6.5 peratus kepada RM204.1 bilion 6.5 peratus," katanya.