Suara

Ekonomi
1/3/22
KDNK
Selangor

Berita Harian: KPS tumpu pelaburan sektor pembuatan

SHAH ALAM: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) komited mempelbagaikan lagi pelaburan dalam sektor pembuatan, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

ADVERTISEMENT

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KPS, Ahmad Fariz Hassan, berkata sasaran itu dijangka dapat dicapai melalui pelaksanaan Program Transformasi Perniagaan KPS (BTP).

Beliau berkata, melalui BTP, hasil pendapatan daripada pelaburan perniagaan KPS meningkat enam kali ganda dalam masa enam tahun daripada hanya RM200 juta pada 2016 kepada lebih RM1.3 bilion pada 2021.

"KPS mengunjurkan pendapatan akan meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus tahun ini. Kumpulan ketika ini juga akan terus melaksanakan proses menilai pelaburan baru dalam sektor pembuatan.

"Pelaburan yang akan dilaksanakan ini tidak semestinya di dalam pasaran domestik tetapi turut meninjau pelaburan di pasaran antarabangsa.

"Ketika ini, hampir 90 peratus pendapatan kumpulan disumbangkan melalui pelaburan dalam sektor pembuatan," katanya selepas majlis pelancaran logo baharu KPS di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengerusi KPS, Datuk Haris Kasim.

Mengulas lanjut, Ahmad Fariz berkata, KPS yang juga anak syarikat pelaburan Selangor sudah banyak mengubah portfolio pelaburannya dengan memberi tumpuan utama kepada sektor pembuatan.

Beliau berkata, sektor pembuatan mempunyai ekosistem yang kukuh di Malaysia selain mempunyai rantaian nilai yang komprehensif.

Katanya, Malaysia terutama Selangor turut dikenali sebagai hab pembuatan negara, menjadikan pembabitan KPS dalam pembuatan adalah langkah yang tepat.

Pembuatan juga mempunyai nilai pulangan yang tinggi selain permintaan yang berterusan dari negara serantau.

Sementara itu, Haris berkata, melalui BTP, fokus utama operasi pelaburan kini telah beralih kepada sektor khusus iaitu pembuatan.

Beliau berkata, BTP dilaksanakan untuk menjamin pertumbuhan yang mampan dan meningkatkan nilai pemegang saham, dengan memastikan permerolehan aset yang menjana aliran tunai.

Selain itu, katanya, BTP juga menekankan pengurusan kos yang efektif dan mengutamakan pembangunan modal insan serta memupuk budaya yang berprestasi tinggi.

"KPS sudah banyak melalui proses transformasi dari segi strategi dan objektif pelaburan perniagaan.

"Operasi pelaburan KPS sudah beralih daripada pengurusan aset negeri dalam sektor konglomerat terutama di Selangor kepada beberapa sektor lain yang lebih strategik dan yang mempunyai pasaran global.

"KPS melaksanakan strategi perniagaan dan operasi perniagaan yang lebih efisien melalui proses penambahbaikan, automasi dan pendigitalan.

"Ini bertujuan untuk menghasilkan penciptaan nilai yang berterusan bagi memastikan pengeluaran dan keuntungan yang optimum," katanya.

Ketika ini, KPS melaksanakan pelaburan dalam beberapa syarikat pembuatan terkemuka seperti Kaiserkorp Corporation Sdn Bhd, pemilik jenama global King Koil; Century Bond Bhd, penyedia solusi pengemasan terintegrasi serta pengeluar elektronik iaitu CPI (Penang) Sdn Bhd dan Toyoplas Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd.

Kesemua syarikat itu beroperasi di luar Selangor seperti di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor, termasuk beberapa operasi di Amerika Syarikat (AS), China, Indonesia dan Vietnam.

Terkini, rantaian nilai perniagaan KPS melangkaui lebih 90 buah negara dengan profil pelanggan terdiri daripada syarikat multinasional.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.