Suara

Ekonomi
24/6/21
Selangor

Berita Harian: Kempen Selangor E-Bazar Raya jana RM1 bilion

Berita terbit di bharian.commy pada 23 Jun 2021.

SHAH ALAM: Sejumlah RM1 bilion dijana menerusi Kempen Selangor E-Bazar Raya yang memberikan manfaat kepada lebih 134,000 peniaga e-dagang di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kempen bermula 15 April sehingga 29 Mei lalu mencatatkan hasil memberangsangkan dengan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM954 juta kepada ekonomi Selangor termasuk jualan terus bernilai RM65 juta.

"Kerajaan Selangor menyalurkan RM2 juta sebagai baucar subsidi untuk kempen Selangor E-Bazar Raya yang menyaksikan penyertaan 22,049 peniaga e-dagang baharu, memanfaatkan 134,025 peniaga e-dagang secara keseluruhan.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 76 peratus daripada sasaran awal iaitu 12,500 peniaga e-dagang baharu yang dijangka menyertai kempen ini.

"Ini juga menunjukkan lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapat manfaat daripada kempen terkini Selangor E-Bazar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya selepas pengumuman keputusan Kempen Selangor E-Bazar Raya dan pelancaran Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) TV, hari ini.

Amirudin berkata, kempen itu memastikan peniaga di Selangor menjadi pilihan utama pelanggan dalam memenuhi bekalan dan keperluan isi rumah seperti makanan, perabot dan peralatan sukan.

"Kempen itu juga membantu PKS menjana hasil jualan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memenuhi keperluan pengguna untuk menikmati sambutan perayaan yang sederhana.

"Kempen itu diselaraskan oleh Invest Selangor dan Sidec dengan kerjasama Shopee dan Lazada, dua platform e-dagang paling digemari di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kempen Selangor E-Bazar itu sekali lagi membuktikan peniaga yang mendigitalisasikan perniagaan mendapat pulangan yang lumayan.

"Hasil terkini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 163 peratus untuk jualan terus dan 139 peratus peningkatan kesan riak kepada ekonomi Selangor berbanding sasaran awal," katanya.

Katanya, Selangor berbangga menjadi kerajaan negeri pertama yang melancarkan inisiatif baucar e-dagang dalam membantu PKS negeri menghadapi cabaran COVID-19.

"Kita mengadakan empat kempen E-Bazar, iaitu E-Bazar Raya 2020, E-Bazar 11.11 Mega Sales, E-Bazar CNY 2021 dan E-Bazar Raya 2021.

"Dengan pelaburan RM7 juta oleh kerajaan negeri, empat pusingan kempen itu menghasilkan jualan terus berjumlah RM144.7 juta dan mewujudkan kesan riak sebanyak RM2.95 bilion untuk ekonomi Selangor.

"Terdapat 294,119 penjual, termasuk 74,837 penjual baharu, yang mendapat manfaat daripada kempen ini dan ia membolehkan ekonomi negeri terus bergerak sambil mewujudkan saluran penjualan alternatif supaya perniagaan tempatan dapat bertahan, terutama di bawah pelbagai sekatan akibat wabak COVID-19," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.