Astro Awani: SIBS 2023: Selangor tumpu tarik pelaburan berimpak tinggi - Menteri Besar
KUALA LUMPUR: Selangor tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan ekonomi semasa meskipun menerima jumlah pelaburan yang tinggi saban tahun berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, negeri itu sebaliknya, perlu mempergiat pelaburan berimpak tinggi dalam mendepani landskap industri yang kompleks dan pelbagai cabaran baharu.
“Saya telah menjelaskannya kepada pasukan, bahawa kami mahukan pelaburan berkualiti tinggi dan bukan sebarang jenis pelaburan.
“Ia selaras dengan industri semasa yang telah kami kenal pasti; sama ada dalam pengangkutan awam atau perubahan iklim, serta pembuatan automasi berkualiti tinggi,” katanya.
Amiruddin berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, selama empat hari sehingga Ahad ini (22 Oktober).
Beliau turut menambah, penemuan baharu dalam bidang bioteknologi dan farmaseutikal juga perlu dipersiapkan bagi menghadapi endemik atau wabak seterusnya.
Seiring dengan tema ‘Selangor Pintu Masuk Ke ASEAN’, beliau optimis destinasi pelaburan terbaik di Asia Tenggara kini adalah di Selangor.
“Jika anda mahu memilih masa untuk memulakan perniagaan mikro atau kecil, mengembangkan syarikat saya pasti destinasi terbaik adalah di Selangor.
“Jika anda mahu untuk memilih negeri terbaik untuk meletakkan wang anda di Asia Tenggara, tiada tempat yang lebih baik untuk nilai wang anda selain Selangor,” katanya lagi.
SIBS 2023 kini memasuki tahun ketujuh penganjurannya, dengan menampilkan enam program utama dan lima acara sampingan merentas pelbagai sektor industri seperti makanan dan minuman, perubatan dan ekonomi digital.
Sidang kemuncak kali ini dijangka menarik 50,000 pelawat dan berpotensi menghasilkan RM1.5 bilion ringgit potensi transaksi jualan.