Astro Awani: Perdagangan Malaysia pada Mei meningkat kepada RM246.31 bilion, tertinggi dalam 20 bulan
KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan dan kukuh pada Mei 2024, mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 10.3 peratus kepada RM246.31 bilion, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Angka itu adalah nilai tertinggi dicatatkan sejak Oktober 2022 dan merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang kelima bulan berturut-turut.
"Eksport meningkat dua bulan berturut-turut, berkembang 7.3 peratus kepada RM128.22 bilion.
"Sementara itu, import naik 13.8 peratus kepada RM118.09 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM10.14 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-49 bulan berturut-turut sejak Mei 2020," jelas MITI dalam kenyataan pada Khamis.
"Tanda-tanda pemulihan ekonomi di pasaran eksport utama negara dapat dilihat apabila eksport ke rakan dagang utama seperti Asean, Republik Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan peningkatan," jelas MITI.
Eksport ke Asean dan AS mencatatkan kenaikan ketara dengan pertumbuhan dua digit.
Begitu juga, eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun kepada RM87.64 bilion.
Perdagangan, eksport dan import pada tempoh lima bulan pertama 2024 mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh tersebut, menurut kementerian itu.
"Perdagangan meningkat 8.7 peratus kepada RM1.158 trilion berbanding tempoh yang sama 2023. Eksport naik 4.5 peratus kepada RM605.25 bilion dan import bertambah 13.7 peratus kepada RM553.24 bilion.
"Lebihan dagangan sebanyak RM52.01 bilion telah dicatatkan pada tempoh ini," jelasnya.
Menurut MITI, berbanding April 2024, prestasi perdagangan pada Mei 2024 dilihat kukuh dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.1 peratus, 11.8 peratus, 10.4 peratus dan 30.9 peratus.
Bank Dunia dalam Laporan Prospek Ekonomi Global Jun 2024, mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global meningkat 2.6 peratus pada 2024 (unjuran pada Januari 2024: 2.4 peratus) berikutan prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan di AS.
Ia juga menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia meningkat 4.3 peratus bagi 2024.
Mengorak langkah ke hadapan, sektor pembuatan Malaysia dilihat bersedia untuk tumbuh secara positif pada 2024, disokong oleh reformasi industri yang diterajui oleh MITI serta peningkatan dalam unjuran permintaan semikonduktor global yang memberangsangkan.
"Baru-baru ini, World Semiconductors Trade Statistics (WSTS) menjangkakan pertumbuhan kukuh dalam pasaran semikonduktor global sebanyak 16 peratus pada 2024 berikutan prestasi lebih kukuh dalam penggunaan pengkomputeran.
-- BERNAMA