Suara

Ekonomi
3/5/23
Selangor
KDNK

Astro Awani: Kutipan hasil Selangor cecah 45 peratus setakat Mac

Klang: Selangor mencatatkan kutipan hasil negeri hampir 45 peratus daripada sasaran keseluruhan perolehan pada suku pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat 15 Mac lalu, pentadbiran kerajaan negeri berjaya mengutip RM893.11 juta dari RM2 bilion yang disasarkan tahun ini.

"Kita sudah berjaya memperoleh kutipan ini dalam tempoh kurang daripada tiga bulan pertama tahun ini.

"Ini adalah tanda keyakinan rakyat dan komuniti perniagaan di negeri yang kita cintai ini terhadap pentadbiran ini yang mengemudi negeri ini hampir genap lima tahun sebelum kita memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Kita tidak boleh ambil mudah keyakinan ini dan saya berharap keyakinan prestasi pungutan hasil negeri juga diterjemahkan dalam minggu dan bulan yang akan datang, Insya-Allah," katanya ketika sembah ucapan di Majlis Jelajah Kita Selangor Aidilfitri diiringi Menteri Besar Selangor di Padang Taman Kerayong, di sini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meraikan sambutan rumah terbuka itu bersama lebih 10,000 tetamu terutamanya penduduk sekitar.

Amirudin berkata, hasil pungutan itu turut dikongsi bersama penjawat awam di Selangor menerusi Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2023.

"Alhamdulillah atas kejayaan prestasi pungutan hasil kerajaan negeri sepanjang pentadbiran ini serta dalam tiga bulan pertama tahun ini, saya mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2023.

"Ini bukan saja memberikan satu bulan gaji kepada penjawat awam Selangor, tetapi juga penjawat-penjawat awam Persekutuan seperti guru, polis dan lain yang berkhidmat di Selangor turut akan menerima manfaat insentif ini iaitu sebanyak RM200.

"Ini dibuat julung kalinya di Selangor dan didorong atas kejayaan prestasi pengutan hasil Kerajaan Negeri dalam tiga bulan pertama tahun ini," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.