Utusan Malaysia: Pavillion Selangor berjaya raih kutipan RM1.03 juta dalam pameran MATTA

PETALING JAYA: Pavilion Selangor mencatatkan kutipan jualan melebihi RM1.03 juta dalam tiga hari penganjuran pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2023 yang bermula 1 hingga 3 September lalu.
Malah, Selangor yang dikunjungi lebih 80,000 pengunjung diumum sebagai Destinasi Pilihan Malaysia dalam penganjuran pameran berkenaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, penyertaan Tourism Selangor dalam Pameran MATTA berjaya mengumpulkan pengunjung dalam kalangan agensi pelancongan, Persatuan Hotel Malaysia, syarikat penerbangan dan orang ramai.
“Dengan menekankan Selangor sebagai destinasi pelancongan yang ideal bagi sektor domestik melalui kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ berjaya mengumpul pengunjung dari pelbagai agensi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MATTA 2023 diadakan di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 1 sehingga 3 September lalu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, Tourism Selangor berjaya memberi impak besar di Pameran MATTA 2023 dengan GL Play sebagai rakan strategik.
“Penyertaan kami pada kali ini mencatatkan jumlah jualan tertinggi sepanjang penyertaan kami dalam Pameran MATTA selama 12 tahun berturut,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Penyelidikan Perancangan Pelancongan dari Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif (CIPD) Universiti Teknologi Malaysia, Professor Amran Hamzah berkata, berdasarkan penyelidikan, pakej pelancongan dan Pavilion Selangor dilaporkan cemerlang sepanjang tiga hari.
“Ini disumbangkan lagi dengan penganjuran Fiesta Pusing Selangor Dulu yang diadakan selama dua hari berturut-turut dari 2 sehingga 3 September 2023 semasa Pameran MATTA,” katanya.
Fiesta Pusing Selangor dulu turut mengumpulkan selebriti dan individu berpengaruh melalui pemberian baucar pelancongan bersama Duta Kempen Pusing Selangor Dulu Che Puan Juliana Evans dan Pengasas Jamu Ratu Malaya Bonda Rozita Ibrahim.
Dalam pada itu, Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, pameran MATTA pada tahun ini turut memperkenalkan inisiatif segmentasi baru di dewan domestik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Dengan penglibatan negeri, pengusaha hotel dan beberapa kategori zon bebas, pameran ini dapat memupuk dan mempromosikan lagi pelancongan tempatan dan merangsang ekonomi,” katanya.-UTUSAN