Suara

Peristiwa
16/11/23
Selangor
KDNK

Utusan Malaysia: Hasil tanah Selangor sumbang RM1.9 bilion kepada negeri

SHAH ALAM: Sumber tanah menyumbang sebanyak 80 peratus kepada hasil Selangor yang meliputi jumlah sekitar RM1.6 bilion bagi tahun 2022 atau RM1.9 bilion sehingga 9 November lalu.

Sebahagian daripada hasil tersebut disumbang oleh cukai tanah iaitu sebanyak 24 peratus iaitu sekitar RM456 juta sehingga awal bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun kerajaan negeri sedang mengkaji hasil lain yang boleh dikutip pada masa akan datang termasuk menyemak semula kadar fi tertentu.

Menurutnya, sebanyak 16 cadangan dikemukakan oleh pegawai kewangan negeri dalam pemukiman kerajaan negeri pada 2021 untuk memastikan pentadbiran mempunyai kewangan dan hasil mencukupi.

“Tiga perkara kita tetapkan dalam Belanjawan 2023 dan 2024 yang dilaksanakan, pertama adalah cadangan perkongsian hasil di antara anak syarikat dalam bentuk dividen dan ia disebutkan dengan jelas dalam Belanjawan 2024.

“Kedua, semakan semua fi pejabat di bawah Kaedah Tanah Selangor 2003 berikutan kenaikan kos operasi pejabat pentadbiran tanah negeri. Ketiga, menaikan caruman parit yang akan ditetapkan yang akan ditetapkan pada kadar lebih tinggi, daripada RM10,000 pada waktu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri (PKR) dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut menjawab pertanyaan tambahan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN) yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri masih bergantung kepada hasil tanah iaitu 70 peratus pada tahun hadapan.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) sedang meneroka sektor tenaga boleh diperbaharui termasuk solar dan projek insinerator sampah (Waste-to-Energy) serta pelaburan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Justeru, kita ada beberapa pipeline projek yang keseluruhannya hampir bernilai RM10 bilion yang diterokai oleh Worldwide dan sebahagiannya daripada ekonomi ataupun sektor diceburi adalah solar dan juga mini hidro serta hidrogen.

“Penghasilan hidrogen saya akui kita agak ketinggalan berbanding Sarawak kerana mereka sudah mendahului sejak 2019 dan kita akan meneroka lebih lanjut.

“Baru-baru ini berhubung dengan pihak dari Abu Dhabi dan UAE yang turut melakukan lawatan ke sini kerana hasil daripada pertemuan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri terbaru.

“Mereka bersedia untuk melabur sekitar 10 gigawat elektrik yang akan dibuat oleh kumpulan tersebut dan Selangor akan commit satu atau 1.5 gigawatt daripada keseluruhan yang disediakan oleh kumpulan tersebut,” jawabnya. – UTUSAN

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.