Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke-76
Ampun Tuanku,
Patik yang mewakili rakyat jelata, kepimpinan serta barisan penjawat awam pentadbiran Kerajaan Negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih tahniah buat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya bersempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke-76.
Patik berdoa ke hadrat Ilahi, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT.
Patik dan seluruh rakyat jelata amat bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi Izin oleh-Nya untuk dinaungi kedaulatan Tuanku Sultan. Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafiatan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya.
Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda tuanku, waris-waris serta kerabat diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.
Keprihatinan DYMM Tuanku terhadap kebajikan rakyat jelata sentiasa menjadi inspirasi buat patik dan seluruh pentadbiran kerajaan untuk tekun berusaha demi kesejahteraan rakyat dan kesentosaan negeri.
Akhirul kalam Patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan DYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.
Daulat Tuanku
DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
11 Disember 2021
6 Jamadilawal 1443