Tahniah Prof Dr 'Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi
Saya mengucapkan tahniah kepada Prof Dr 'Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi yang baru dipilih sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, sebuah pertubuhan keilmuan antarabangsa yang berpengkalan di Qatar. Beliau telah telah dipilih dengan majoriti oleh wakil dari pelbagai negara bagi penggal 2024-2028. Ini membuktikan kealiman dalam pelbagai cabang ilmu Islam dan kehebatan beliau sebagai pemikir unggul merentasi pelbagai bidang juga.
Saya juga turut teruja apabila membaca ucapan beliau sewaktu menerima tanggungjawab itu yang antara lain merupakan nasihat yang baik untuk kita semua. Berikut adalah petikan dari ucapan Al-fadhil Sheikh:
“Ucapanku kepada para ulama:
Jadilah rahmat kepada umatmu. Elakkan diri daripada dikuasai emosi kerana emosi laksana ribut yang boleh memusnahkan. Sampaikanlah Islam dengan berhikmah dan rasional. Tingkatkan pemikiran dan akhlakmu hingga ke tahap yang dimahukan oleh Islam. Janganlah kamu masuk ke dalam perdebatan dan perbincangan kosong yang tidak menguntungkan. Menyumbanglah untuk kebangkitan umatmu menerusi ilmu dan kajian ilmiahmu. Jadilah teladan dalam aspek kecemerlangan dan kemajuan. Beramallah untuk membimbing orang ramai ke arah pengetahuan, pengajian dan penyebaran kesedaran ilmu dalam masyarakat kerana para ulama adalah harapan umat untuk membina masa depan yang lebih baik.”
Syeikh Dr Ali Muhyiddin telah sudi hadir ke Shah Alam pada November lalu bagi satu majlis ilmu dan dalam pertemuan tersebut, beliau menekankan kepentingan perpaduan ummah agar bumi Palestin dapat merasai kebebasan dan kemerdekaan.
Insya-Allah semoga Al-fadhil Sheikh dikurniakan kekuatan dalam mengemban amanah ini.