Media

Peristiwa
20/12/22
Isu
Selangor

Sinar Harian: Tanah runtuh: Lebih 80 peratus lokasi runtuhan digali, diperiksa

BATANG KALI - Lebih 80 peratus kawasan runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini telah diperiksa anggota penyelamat setakat ini bagi mencari baki sembilan lagi mangsa yang masih hilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, faktor tanah yang lembut dan cuaca hujan yang menyumbang kepada takungan air di bawah tanah menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat.

Beliau berkata, walaupun tinggal kira-kira hanya 20 peratus kawasan pencarian, keselamatan anggota penyelamat juga perlu diambil kira.

"Tanah di sini sememangnya lembut dan apabila ditambah dengan air hujan, ia menyebabkan struktur tanih menjadi lembap dan lemah, susah nak bergerak dalam keadaan macam ini,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini, seramai 135 anggota penyelamat ditempatkan di lapangan dengan kerjasama pelbagai agensi untuk operasi SAR.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.

Norazam berkata, operasi SAR telah dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A (Hill View), sektor B (Farm View) dan sektor C (River View) melibatkan kerjasama lima agensi utama kerajaan yang berganding bahu menghadapi bencana itu selain terdapat juga beberapa agensi sokongan lain.

"Sejak hari pertama SAR lagi, kita telah menggunakan jentera pengorek yang amat memudahkan kerja kami kerana ia mampu digunakan berterusan serta dapat mengurangkan tenaga manusia untuk kerja mengorek tanah.

"Jika diikutkan, anggota penyelamat sememangnya telah melakukan pengesanan dan pencarian mangsa mengikut kawasan runtuhan iaitu dari atas runtuhan sehinggalah ke kawasan bawah,” katanya. - Bernama

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.