Media

Peristiwa
15/3/24
Isu
Selangor

Sinar Harian: Sultan Selangor berkenan terima zakat Worldwide Holdings RM2.82 juta

SHAH ALAM - Anak syarikat kerajaan negeri, Worldwide Holdings Berhad (WHB) menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2.82 juta di majlis penyerahan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada Rabu.

Penyerahan bayaran zakat disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menurut Norazlina, WHB sentiasa memberi keutamaan kepada urusan pembayaran zakat perniagaan sejak mula beroperasi bagi mendapatkan keberkatan ke atas pendapatan tahunan syarikat, selain memenuhi tanggungjawab serta komitmen kami sebagai entiti perniagaan tempatan.

"Di samping membersih dan menyuburkan harta perniagaan, kami turut berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak LZS merealisasi dan mengembangkan perancangan-perancangan berkaitan pembangunan sosioekonomi rakyat dan pemerkasaan agenda ESG, khususnya di negeri Selangor,” ujarnya.

Seperti LZS, WHB komited dalam memenuhi misi menyumbang semula kepada rakyat Selangor, terutamanya menerusi pelbagai aktiviti pembangunan sosial dan ekonomi yang dilaksanakan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Worldwide Prihatin.

"Antara inisiatif berkaitan ialah kerjasama strategik di antara WHB dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bermula 2022, yang menyaksikan WHB menyalurkan dana berjumlah RM200,000 setiap tahun kepada NGO tersebut bagi membiayai yuran pengajian dan menyediakan alat bantuan pendidikan untuk para pelajar di bawah naungan YRMS dari golongan asnaf fakir miskin," ujarnya lagi.

Selain itu, ujarnya, WHB juga merupakan antara penaja bersama Selangor International Book Fair (SIBF) dan turut mengukuhkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada hujung tahun lalu, susulan pengumuman WHB sebagai antara penderma penubuhan Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda menerusi sumbangan rintis berjumlah RM100,000.00.

Menurut Norazlina, sumbangan terkumpul akan dimanfaatkan oleh pihak yayasan untuk menaik taraf perpustakaan Pustaka Raja Tun Uda dan meningkatkan kemudahan buat para pengunjung berkelainan upaya (OKU).

"Inisiatif-inisiatif dijayakan bersama-sama dengan rakan kerjasama strategik kami seperti pihak LZS, YRMS dan PPAS diharapkan akan menjadi lambang komitmen serta dedikasi WHB dalam menyumbang kepada usaha-usaha meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat Selangor, selari dengan tema sosial dan pendidikan yang merupakan antara tunjang utama program CSR Worldwide Prihatin,” tambahnya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.