Sinar Harian: Suasana masjid, surau perlu terus aman dan berkecuali - Sultan Selangor
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan agar suasana masjid dan surau di negeri ini perlu terus aman dan berkecuali daripada persengketaan serta perbalahan di sekelilingnya.
"Beta bersyukur kerana syiar Islam terus ditegakkan dengan pelbagai aktiviti pengimarahan masjid dan surau di Selangor.
"Rumah ALLAH adalah tempat untuk umat Islam beribadat, mencari ketenangan, membersihkan jiwa dan meningkatkan tuntutan silaturahim sesama ummah.
"Sehubungan itu, perlu dielakkan sama sekali unsur pencetus permusuhan dan perpecahan yang berlaku di luar daripada berlaku di dalam masjid," titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada upacara perasmian pembukaan mesyuarat penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan DUN di sini pada Selasa.
Titah baginda lagi, selain itu, institusi masjid dan surau juga perlu diurus dengan profesional, adil dan telus.
"Pada 7 Disember lalu, beta melancarkan Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masjid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 berkuat kuasa 1 Januari 2024.
"Beta ingin mengingatkan pentadbir masjid dan surau untuk mematuhi garis panduan tersebut agar urus tadbir dapat dijalankan secara efisien," titah baginda.
Baginda bertitah, pentadbir juga perlu sentiasa mendengar dan responsif kepada keperluan jemaah dengan menggunakan sebaiknya kutipan sumbangan sedekah bagi menjamin keselesaan beribadah.
Guna air secara cermat, berhemat - Sultan Selangor
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menggesa rakyat di negeri ini menggunakan air secara cermat dan berhemah.
Baginda bertitah, ia berikutan tahap kesedaran terhadap penggunaan air secara berhemah segelintir pihak dilihat berada pada tahap rendah hingga menyebabkan kadar penggunaan domestik tinggi.
"Tahap kesedaran terhadap penggunaan air secara berhemah masih berada pada tahap rendah hingga menyebabkan kadar penggunaan domestik tinggi dianggarkan 215 liter seorang sehari,” titah baginda yang turut mengambil maklum komitmen kerajaan negeri menangani isu bekalan air dengan mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko serta menjamin keselamatan air untuk negeri.