Media

Peristiwa
20/2/24
Selangor

Sinar Harian: Selangor perluas 'glow in the dark' ke 15 lokasi

SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan perluas projek garisan bercahaya 'glow in the dark' ke 15 lokasi dikenal pasti membabitkan sembilan daerah.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, keseluruhan projek tersebut merangkumi jarak 15 kilometer antaranya di daerah Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam, Gombak dan Petaling.

Menurutnya, projek membabitkan peruntukan RM900,000 itu bakal dilaksanakan dalam masa terdekat secara berfasa menumpukan kawasan yang tidak mempunyai lampu jalan.

"Garisan bercahaya membantu pemandu melihat jalan dengan lebih jelas terutama pada cuaca gelap atau hujan.

"Diharap ia mampu meningkatkan tahap keselamatan dan memberi manfaat kepada pengguna di Selangor," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau baru-baru ini meninjau ke lokasi garisan jalan 'glow in the dark' di jalan B17 Sungai Tekali dan B19-Sungai Lalang.

Turut hadir Jurutera Awam Penguasa Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Asri Md Esa dan Jurutera Daerah Hulu Langat, Zamri Mohamud.

Beliau berkata, selain projek berkenaan, kerajaan negeri juga mempunyai projek naik taraf jalan di bawah program Selangor Bercahaya yang kini mempunyai 600 tiang lampu diod pemancar cahaya (LED).

"Untuk tahun ini kerajaan negeri memperuntuk RM150 juta untuk penambahan lampu LED di lokasi tumpuan.

"Sama seperti pemasangan lampu LED, kita juga akan minta maklumat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) jika ada lagi kawasan mereka memerlukan garisan jalan glow in the dark ini,” katanya.

    Seterusnya
    #KITASELANGOR
    Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
    Terima kasih!
    Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
    Maaf! Ada ralat.