Sinar Harian: Selangor perhebat program perpaduan di semua peringkat
KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor akan memperhebatkan program berbentuk perpaduan di semua peringkat dalam usaha memupuk semangat penyatuan dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Exco Kemajuan Desa dan Luar Bandar, Kemampanan Kampung Tradisi dan Perpaduan Nasional, Datuk Rizam Ismail berkata, Selangor sebagai sebuah negeri paksi ekonomi negara menjadi tumpuan rakyat berbilang bangsa dan agama untuk bekerja serta menetap di negeri ini.
"Sudah pasti program perpaduan di negeri Selangor perlu kerap dilaksanakan dan ini membolehkan masyarakat majmuk saling bersatu-padu bagi mencapai keharmonian, walaupun wujud kepelbagaian latar belakang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor 2023 di Tapak Parkir Lotus's Kuala Selangor pada Isnin.
Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, program perpaduan bukan hanya dilaksanakan melibatkan peringkat dewasa semata-mata, sebaliknya ia perlu dipupuk di peringkat sekolah lagi.
Jelasnya, perpaduan di peringkat sekolah dapat dicapai melalui kurikulum seragam untuk semua sekolah.
"Saya yakin pihak sekolah sentiasa ada program yang akan mewujudkan semangat sayangkan negeri dan negara serta dalam masa sama program ini sentiasa berterusan dari semasa ke semasa.
"Program seperti ini (Hari Terbuka) mengeratkan hubungan antara masyarakat Melayu, Cina dan India agar mereka lebih saling hormat- menghormati di samping mewujudkan semangat mencintai negeri Selangor," ujar beliau.
Rizam semasa dalam ucapannya memberitahu, beliau yakin Hari Terbuka dianjurkan itu mencapai objektif termasuk berjaya menarik penyertaan pelbagai kaum.
Menurut beliau, warga pendidik diyakini memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan yang menitikberatkan pembangunan dan pembentukan murid beradab, berakhlak dan berintegriti.
"Falsafah ini membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang guru, bukan sahaja untuk memberi pendidik akademik, bahkan di dalam
membina sahsiah dan jati diri pelajar di dalam mendepani dunia semakin mencabar ini," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak termasuk ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO), badan korporat serta seluruh warga komuniti untuk sentiasa memberikan dukungan dan bantuan kepada guru dan sekolah sama ada dari segi pandangan, kemahiran dan kewangan.
"Kita harus berkongsi aspirasi sama iaitu untuk menyediakan pendidikan berkualiti di dalam melahirkan generasi pelapis muda cemerlang, berakhlak dan ada kekuatan untuk mendepani cabaran di dalam mempertahan maruah dan kedaulatan negara bangsa Malaysia ini," tambahnya.