Media

Peristiwa
29/9/23
Selangor

Sinar Harian: Selangor laksana pemutihan rumah kebajikan tak berdaftar

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor akan merancakkan operasi pemutihan bagi mengesan pengusaha rumah jagaan dan kebajikan kanak-kanak tidak berdaftar di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Shaari berkata, ia selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor agar rumah kebajikan di negeri itu dapat memenuhi syarat dari segi keselamatan dan kesejahteraan penghuninya.

"Di bawah portfolio kebajikan masyarakat, kita juga ada insentif untuk memberi bantuan dan untuk tahun ini kita salurkan kepada sembilan buah rumah kebajikan yang mana sembilan (rumah kebajikan) ini tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak.

"Jadi mana-mana rumah yang masih lagi belum didaftarkan, menepati akta tersebut kita masih dalam proses untuk pemutihan dan ini sebenarnya penting dan kritikal untuk mereka memenuhi syarat dari segi keselamatan dan juga dan kesejahteraan ahli atau penghuni di rumah kebajikan," katanya.

Anfaal ditemui pada Program Sinergi Prihatin 2023: Demonstrasi Pertolongan Cemas di Rumah Kebajikan dan cubaan memecah rekod penyertaan teramai dalam Malaysia Books Of Record (MBOR) pada majlis berlangsung di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Beliau menambah, pemutihan itu dilaksanakan untuk melihat secara keseluruhan dan holistik rumah-rumah kebajikan di Selangor yang belum berdaftar agar mematuhi syarat serta mengikut piawaian Akta Kanak-Kanak dan Warga Emas.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat turut menerima pengiktirafan MBOR bagi penyertaan teramai dalam demonstrasi pertolongan cemas di rumah kebajikan.

Anfaal berkata, program dan cubaan memecah rekod bagi penyertaan teramai dalam demonstrasi pertolongan cemas di rumah kebajikan itu melibatkan 445 peserta ke 17 rumah kebajikan di sekitar Selangor.

"Kita berjaya memecah rekod MBOR dengan penglibatan teramai dalam program tersebut iaitu seramai 445 peserta ke rumah kebajikan termasuk ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)," tambahnya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.