Sinar Harian: Selangor KL Tanah diusahakan sebelum 2008 dipertimbang kelulusan: MB
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menetapkan tanah yang diusahakan sebelum tahun 2008 sahaja diberi pertimbangan kelulusan bagi mengelak berlakunya pencerobohan tanah milik kerajaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu berulang kali ditegaskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.
Menurut beliau, sebelum ini antara prasyarat kelulusan tanah yang ditetapkan adalah tanah tersebut telah diusahakan.
"Namun, ini tidak selari dengan niat permohonan (kerana) kalau tanah diusahakan, maka kita seperti galakkan pencerobohan.
"Tetapi saya faham apa yang dilakukan kerajaan negeri sebelum ini ialah mana-mana tanah yang telah diusahakan sebelum tahun 2008, kriteria ini masih boleh ditetapkan (dipertimbangkan kelulusan)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.
Amirudin memberitahu, beliau difahamkan terdapat sesetengah 'ajaran menyeleweng' dalam pengurusan tanah bahawa ia perlu diusahakan terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.
"Perkara ini tidak berkenaan (betul) dan saya harap menjelang pertengahan tahun depan kita sudah mula bersedia untuk menanganinya," kata beliau.
Menjawab pertanyaan langkah kerajaan menangani aktiviti pencerobohan tanah kerajaan secara haram, Amirudin memberitahu, secara umumnya kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap individu, syarikat atau mana mana pihak yang didapati bersalah melakukan pencerobohan terhadap tanah tersebut.
Beliau berkata, antara contoh tindakan tegas boleh diambil melalui perundangan atau mengambil sebarang tindakan mengikut garis panduan disediakan.
"Implikasi pada tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap penceroboh ialah denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara satu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali sebagaimana selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828)," kata Amirudin.
Jelas beliau, selain daripada denda dan hukuman penjara terhadap penceroboh tersebut, tindakan kompaun ataupun tuntutan ganti rugi boleh dikenakan terhadap mana-mana penceroboh yang dikenal pasti melakukan kesalahan tersebut.
Mengulas lanjut katanya, antara jenis pencerobohan tanah kerajaan melibatkan tanaman kontan seperti pisang, serai dan jagung di bahu jalan yang diklasifikasikan pencerobohan berskala kecil.
"Bagi aktiviti pencerobohan berskala besar pula, pihak tidak bertanggungjawab menanam kelapa, kelapa sawit, durian dan sebagainya.
"Malah lebih membimbangkan ada di antara mereka mendirikan struktur kekal seperti rumah kediaman, bengkel, gudang, stor bangunan perniagaan dan sebagainya," jelas beliau.
Amirudin menegaskan, selain pembinaan struktur tanah, ada juga aktiviti pengorekan dan pencurian bahan batuan atau sumber mineral tanpa mendapat kebenaran sah pihak berkuasa negeri
"Oleh demikian kesalahan tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828) Enakmen Mineral Selangor atau peruntukan undang-undang sedia ada dan sedang berkuatkuasa," jelas beliau.