Media

Peristiwa
31/7/24
Selangor
Isu

Sinar Harian: Selangor kesan aktiviti pembakaran secara haram di Kuala Langat

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengesan terdapat aktiviti pembuangan dan pembakaran sisa pepejal perindustrian secara haram di Jalan Sijangkang Utama, Kuala Langat pada 22 Julai lalu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, pihaknya dimaklumkan aktiviti itu kerap berlaku di tapak terbabit.

Menurutnya, sebelum ini beliau menerima aduan berhubung dakwaan pembuangan dan pembakaran sisa elektronik, bagaimanapun setelah semakan dibuat mendapati ia lebih kepada aktiviti sisa perindustrian di tapak tersebut.

"Hasil perbincangan pada lawatan tersebut, kita telah mengambil beberapa tindakan tegas serta-merta termasuk mengeluarkan Notis 7A (untuk memulihkan pelanggaran syarat) di bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang mengarahkan tindakan pembersihan ke atas pemilik tanah dalam tempoh 180 hari mulai 22 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar Jamaliah, semakan mendapati terdapat pelanggaran syarat oleh pemilik tanah yang menjadikan tanah pertanian sebagai tempat mengumpul atau melupus sampah secara haram.

Tegas beliau, kerajaan negeri berhak mengambil tindakan melucut hak tanah tersebut sekiranya pemilik gagal mematuhi arahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Notis 7A.

Aktiviti pembuangan dan pembakaran sisa pepejal perindustrian secara haram yang dikesan berlaku di Jalan Sijangkang Utama Kuala Langat.

Aktiviti pembuangan dan pembakaran sisa pepejal perindustrian secara haram yang dikesan berlaku di Jalan Sijangkang Utama Kuala Langat.

Katanya, pemilik juga dikenakan notis di bawah Seksyen 70A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pada 1 Julai lalu iaitu tiada seseorang pun boleh memulakan atau menjalankan kerja tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan yang boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan atau kedua-duanya sekali.

Katanya, operasi secara bersepadu itu dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor melibatkan MPKL, PANTAS MPKL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tambah Jamaliah, operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan kaedah 'direct attack' dan menggunakan jengkaut bagi kerja-kerja mengorek timbunan sampah dan memudahkan kerja-kerja pemadaman.

Sehubungan itu, katanya, tindakan pemantauan lebih kerap dilakukan di tapak itu pada setiap hari oleh MPKL sebagai langkah kawalan untuk memastikan tiada aktiviti mengumpul atau melupus sampah baru di tapak.

"Tindakan kawalan ini termasuklah meningkatkan pemantauan dengan melalukan rondaan dan pemerhatian melalui CCTV (kamera litar tertutup) yang telah dipasang di jalan masuk kawasan tersebut," jelasnya.

Menurut Jamaliah, hasil siasatan dan pemantauan yang dijalankan itu telah pun dimaklumkan kepada Exco Kerajaan Tempatan untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, isu itu juga telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Selangor pada Jumaat lalu.

"Antara cadangan yang telah dibincangkan adalah menutup laluan masuk tapak pembuangan sampah haram tersebut dengan melaksanakan kawalan ketat supaya tidak ada mana-mana pihak atau individu boleh mengakses kawasan tersebut.

"Hanya pemilik tanah dibenarkan masuk menjalankan aktiviti pembersihan atau aktiviti-aktiviti lain yang tidak bercanggah dengan syarat-syarat dan undang-undang," jelas beliau.

Katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang turut memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

"Menteri Besar Selangor mengikut rapat perkembangan isu ini dan akan menjalankan lawatan tapak sekiranya isu ini masih tidak dapat diselesaikan.

"Orang ramai diingatkan tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar," tambah Jamaliah.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.