Inisiatif

Peristiwa
30/11/23
Selangor
Isu
Bantuan

Sinar Harian: Selangor kaji sedia pengangkutan pelajar pedalaman ke sekolah

KLANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Selangor bersedia mengkaji keperluan menyediakan pengangkutan kepada pelajar sekolah di kawasan pedalaman bagi menangani isu keciciran pendidikan.

Exco Pelaburan dan Perdagangan, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana, Wilayah Ekonomi Baharu dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, kerajaan Selangor akan menilai dan melihat keperluan di kawasan tersebut.

Menurut beliau, perkara itu perlu diselesaikan segera dan beliau terbuka untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Sekiranya ada permintaan khusus (pengangkutan ke sekolah) untuk sesuatu kawasan, wakil rakyat di kawasan terbabit boleh datang jumpa dengan saya.

"Paling penting kita hendak memastikan pelajar sekolah jangan ponteng disebabkan (tiada pengangkutan disebabkan) faktor jarak ke sekolah dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di Jalan Kapar Kampung Perepat Kapar, di sini pada Isnin.

Ditanya adakah kerajaan negeri menyediakan pengangkutan ke sekolah terutama di kawasan pedalaman, Sze Han berkata, setakat ini tiada pengangkutan khusus disediakan di sesebuah kawasan semata-mata mengambil dan menghantar pulang pelajar sekolah.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Selangor menyediakan program khas memberi bantuan tambang bas sekolah bagi murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang sebahagian besar dari kawasan ladang.

Beliau memberitahu, terdapat permintaan tinggi pelajar sekolah yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor di Petaling Jaya.

"Kalau kita tengok Bas Smart Selangor khususnya di laluan PJ01 melalui Taman Medan dan Kampung Dato Harun kebanyakan pelajar sekolah daripada keluarga B-40," tambah beliau.

Menurut beliau, penggunaan bas itu dalam kalangan penduduk tinggi berikutan terdapat banyak sekolah di laluan terbabit.

"Kalau waktu pagi atau tengah hari selepas waktu persekolahan, kita dapat lihat Bas Smart Selangor dipenuhi pelajar," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Sze Han berkata, kerajaan Selangor juga menggalakkan lebih banyak syarikat menyediakan CLQ bagi memenuhi keperluan kira-kira 200,000 pekerja daripada pelbagai sektor di negeri ini.

Katanya, pada masa ini terdapat CLQ yang ada di negeri itu yang dimiliki syarikat membuat sarung tangan getah, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) untuk kegunaan pekerjanya sahaja.

Bagaimanapun, kata beliau, terdapat projek CLQ yang sedang dibina oleh syarikat swasta dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Kami amat berbesar hati syarikat swasta untuk membina CLQ di Selangor memandangkan kerajaan negeri kini mahu merancakkan lagi sektor ekonomi negeri," katanya.

Sze Han memberitahu, buat masa ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) masih lagi mengeluarkan permit sementara bagi sesebuah kuarters dan rumah kedai yang dijadikan sebagai tempat penginapan pekerja untuk diiktiraf sebagai sebuah CLQ sementara.

Sehubungan itu, katanya, syarikat yang ingin membina CLQ diminta mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Beliau memberitahu, antara syarat ditetapkan seperti keluasan sesebuah bilik harus sekurang-kurangnya tiga meter persegi bagi bilik bentuk dormitori manakala 3.6 meter persegi bagi bilik bentuk 'bedistter'.

Selain itu, katanya, pembinaan sesebuah CLQ harus dibina di lokasi berdekatan kawasan industri dan pihak pengurusan CLQ tersebut perlu menjaga sensitiviti semua penghuni bangunan itu berikutan mereka daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa.

Mengulas mengenai projek CLQ yang dibina Kumpulan Syarikat ISP (ISP), Sze Han berkata, bangunan penginapan 10 tingkat itu sudah memulakan kerja pembinaannya pada September tahun ini dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2024.

"CLQ tersebut mampu memuatkan 3,780 pekerja dan mempunyai pelbagai fasiliti seperti klinik, gimnasium dan sesebuah dapur berpusat.

"Projek ini berkeluasan 0.82 hektar menyediakan 210 buah unit yang tersedia dengan kelengkapan seperti kipas, lampu, katil dan tilam, lokar dan laci demi kemudahan penghuni," tambah beliau.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.