Sinar Harian: Selangor cipta 30,000 peluang pekerjaan
KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor telah berjaya mencipta sebanyak 30,000 peluang pekerjaan baharu sepanjang tahun lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejayaan itu didorong oleh pelaburan sebanyak RM55 bilion yang telah masuk ke negeri ini.
Menurut beliau kerajaan negeri kini sedang giat mengukuhkan institusi-institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri Selangor termasuk dalam bidang kemahiran sedia ada bagi mendorong pertumbuhan ekonomi.
"Sebaliknya mereka juga perlu ditampilkan dari aspek dan diasuh untuk mempunyai keyakinan serta kebolehan serta mempunyai kualiti dari segi emosi mahu pun kualiti peradaban," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pusingan Debat Piala Dato' Menteri Besar Selangor di Selangor Technical Skill Development Center (STDC) di sini pada Ahad.
Amirudin memberitahu, pada masa ini, kerajaan negeri perlu bersedia dan berdepan dengan pelbagai cabaran tidak terjangka.
Ujar beliau, antara cabaran yang pernah dilalui termasuklah menghadapi pandemik Covid-19, banjir besar dan krisis politik yang berlaku dalam negara.
"Ini sewajarnya memberi ingatan kepada kita bagaimana hendak berdepan dengan situasi tertentu seperti ini," jelas Amirudin.
Mengulas mengenai pertandingan debat itu, Amirudin memberitahu, program itu mula dilaksanakan pada tahun 2019 dan dianjurkan buat kali ketiga.
Bagaimanapun, katanya, program itu yang mula dilaksanakan pada tahun 2019 di Universiti Selangor (Unisel) terpaksa dihentikan akibat Covid-19.
"Kita hanya dapat menganjurkannya kali kedua pada tahun lepas di Universiti Islam Selangor (UIS) dan pada tahun ini di STDC.
"Debat sebenarnya melatih kita untuk berfikir dan ia sudah tentunya cabaran berbeza berbanding jika berpidato atau berpuisi," jelas beliau.
Debat Piala Dato' Menteri Besar Selangor pada tahun ini menyaksikan Universiti Sains Islam Selangor (USIM) muncul selaku juara bagi kategori institusi pengajian tinggi.
USIM membawa pulang wang tunai RM8,000, piala, trofi dan sijil, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul naib juara menerima wang tunai RM5,000, tempat ketiga milik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) A menerima RM2,000 dan UPNM B tempat keempat pula RM1,000.
Dalam pada itu, pendebat terbaik keseluruhan dimenangi Mohamad Marzuhaimie Marzuk dari UPNM dan pendebat terbaik akhir dimenangi oleh Hafiz Hafizi dari UKM.