Sinar Harian: Selangor beri jaminan hartanah, adat Orang Asli dijaga
SHAH ALAM - Kerajaan negeri memberi jaminan memastikan hartanah, hak dan adat Orang Asli terus terpelihara menerusi pelbagai dasar dan program.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Paparaidu Veraman berkata, bagi melaksanakan dasar dan program itu, sebanyak RM4 juta dibelanjakan sejak 2020 untuk pembangunan kemudahan dan kebajikan mereka.
Menurutnya, antara program dilaksanakan adalah bantuan pakaian sekolah seragam, bantuan wang saku RM4 sehari, bantuan biasiswa kepada pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan program motivasi pelajar.
"Pemberian bakul makanan, pembiayaan perubatan, bantuan peralatan sokongan pesakit, bantuan pemula perniagaan, bantuan input pertanian seperti baja, racun dan khusus, terakhir bantuan pembangunan ladang," katanya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Selasa.
Paparaidu Veraman
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berhubung usaha dilakukan kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan orang asli, melindungi hak tanah orang asli dan memastikan hak adat mereka dihormati dan diktiraf dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023.
Beliau berkata, dalam aspek hal ehwal tanah, kerajaan negeri dan agensi sentiasa memastikan hartanah Orang Asli dilindungi seperti mana terkandung dalam Akta Orang Asli 1954.
"Tiada pihak sewenang-wenangnya dapat memasuki tanah Orang Asli kecuali mendapat kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya.