Media

Peristiwa
11/7/24
Selangor

Sinar Harian: Rumpun Selangor berpotensi tarik pengunjung lawat lokasi menarik

KUALA SELANGOR - Jelajah Rumpun Selangor berpotensi besar menarik kedatangan pengunjung serta pelancong ke beberapa lokasi menarik di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, program yang turut disertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu mampu mempromosikan keunikan dan keindahan yang ada di Selangor.

"Saya yakin melalui Rumpun Selangor ini, jumlah kedatangan pelancong ke negeri Selangor juga dapat ditingkatkan lebih-lebih lagi Tuanku (Tengku Amir Shah) sudi mencemar dulu bagi menjayakan program ini yang diadakan di setiap daerah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari Program Rumpun Selangor di Kuala Selangor pada Rabu.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar memberitahu, program itu dilaksanakan bagi mendekati dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

"Selangor turut menjadi teras kepada pembinaan naratif perpaduan yang dapat menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di bawah konsep Rumpun Selangor,” ujar beliau.

Mengulas mengenai Rumpun Selangor yang diadakan di daerah Kuala Selangor, Rizam memberitahu, program itu merupakan siri kelima diadakan pada tahun ini.

Beliau berkata, program itu dimulai dengan keberangkatan Tengku Amir Shah bagi mencemar duli bersarapan pagi di Warung Ketupat di Kampung Permatang.

Ujar beliau, baginda kemudiannya berkenan merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan Bilik Mesyuarat Bahagian Pembangunan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

"Baginda berkenan meluangkan masa kira-kira sejam bagi mendengar taklimat bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan kemudiannya berangkat ke majlis santapan tengah hari di Restoran Riverview, Pasir Penambang," tambah beliau.

Tengku Amir Shah dijadualkan berada selama tiga hari di daerah Kuala Selangor sepanjang pelaksanaan Rumpun Selangor.

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.

Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Setakat ini, program itu sudah berlangsung di empat daerah iaitu Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Petaling.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukkan RM4.5 juta bagi menjayakan Rumpun Selangor di sembilan daerah.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.