Sinar Harian: Rumah keluarga Sidek bakal dijadikan rumah warisan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Selangor bercadang untuk menjadikan rumah keluarga Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar di Kanchong Darat, Banting, Kuala Langat sebagai rumah warisan.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan berbincang dengan Datuk Dr Mohmed Misbun Mohd Sidek sebagai langkah memastikan khazanah warisan itu dipelihara bagi tatapan generasi akan datang.
Ujarnya, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju menjadikan rumah keluarga Allahyarham Datuk Mohd Sidek di Kanchong Darat, Banting untuk dijadikan sebagai rumah warisan kebangsaan.
"Ia bertujuan untuk menjadikan rumah ini sebagai salah satu tarikan pelancongan dan pemeliharaan warisan, saya berharap ini mendapat persetujuan dari pihak keluarga Allahyarham," katanya.
Borhan ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Anak-Anak Sidek: Legenda Badminton Negara di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14 di sini pada Selasa.
Borhan (tengah) diiringi Misbun dan Jalani (kiri sekali) melihat koleksi pingat sempena Pameran Anak-Anak Sidek: Legenda Badminton Negara di Muzium Sultan Alam Shah
Hadir sama, Datuk Dr Mohmed Misbun Datuk Mohd Sidek dan Datuk Seri Mohd Jalani Datuk Mohd Sidek.
Sementara itu, Misbun ketika ditemui berkata, usaha menjadikan rumah keluarganya sebagai rumah warisan masih dalam perbincangan namun berharap usaha tersebut dapat berjalan dengan lancar.
"Itu satu cadangan yang bagus kerana dahulu kita ada rasa begitu kerana di situ adalah satu tempat kita mula bermain (badminton) dan menjadi satu kebangsaan.
"Apabila ia dicadangkan untuk menjadi sebagai rumah warisan ia (rumah itu) akan dapat kekal lebih lama dan lebih ramai akan tahu untuk membuat lawatan dan kunjungan (ke rumah itu)," katanya.
..............................................................................................................................................
Pameran beri makna besar buat anak-anak Sidek
SHAH ALAM - Pameran Anak-Anak Sidek: Legenda Badminton Negara berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah memberi makna yang besar buat keluarga Allahyarham Datuk Mohd Sidek Kamar.
Menurut Datuk Mohmed Misbun Mohd Sidek, beliau yang mewakili keluarga Allahyarham menghargai usaha kerajaan negeri dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).
"Pameran berkaitan keluarga kami yang julung kali diadakan ini amat bermakna dan moga pameran ini dan menyemarakkan lagi minat generasi muda dalam sukan badminton.
"Tiada apa yang kami akan tinggalkan kelak tetapi semoga segala pengorbanan telah kami curahkan selama berkecimpung dalam sukan badminton ini dapat dijadikan inspirasi demi negara kita yang tercinta," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Pameran Anak-Anak Sidek: Legenda Badminton Negara di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14 di sini pada Selasa.
Terdahulu, pameran tersebut dirasmikan Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah dan turut dihadiri Datuk Seri Jalani Datuk Mohd Sidek.
Jelas Misbun, sudah lebih 50 tahun mereka bermain badminton iaitu sejak berusia lima tahun dan telah dilatih oleh Allahyarham sehingga mereka berjaya mewakili negara.
"Jika diingat dan kenang terlalu banyak untuk diceritakan namun dengan adanya pameran begini sedikit sebanyak cerita-cerita itu dapat dipaparkan untuk bacaan dan tatapan orang ramai," katanya.