Media

Peristiwa
26/6/24
Selangor

Sinar Harian: Ronggeng akan diwarta tarian warisan Selangor

SHAH ALAM - Tarian ronggeng bakal diwartakan sebagai warisan seni dan simbolik terbaharu Selangor pada tahun ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah memaklumkan, pihaknya sudah selesai menjalankan kajian dan dalam proses membengkelkan seni tarian berkenaan.

Jelasnya, tarian itu bermula dari Bukit Bintang Park di Kuala Lumpur yang sebelum ini dikenali sebagai BB Park ketika zaman kemerdekaan negara sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Wilayah Persekutuan.

"Pada era itu, kawasan berkenaan masih berada di bawah Selangor dan ronggeng ditarikan oleh rakyat yang mencari rezeki di situ.

"Justeru, kita membuat kajian menyeluruh dan akan mengemukakan kertas penwartaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas selesai proses pembengkelan kelak," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Selangor kali ke-38 di sini, pada Selasa.

Borhan mengulas lanjut berkata, kajian mengenai ronggeng itu dijalankan kerajaan negeri menerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

"Tarian ini merangkumi semua elemen muzik dan rentak berbeza selain peringkat pergerakan dari perlahan, sederhana yang akhirnya menjadi rancak.

Ahli PKMM bergambar bersama Borhan (lima dari kiri) selepas majlis perasmian mesyuarat agung PKMM.

Ahli PKMM bergambar bersama Borhan (lima dari kiri) selepas majlis perasmian mesyuarat agung PKMM.

"Selain itu, konsep pakaian penarinya berbeza dan masih menjadi tradisi di Selangor terutama dalam acara kesenian," ujarnya.

Borhan berkata, pihaknya juga akan mewartakan beberapa seni warisan lain seperti tarian kuda kepang Selangor, alat muzik dabus dan cempuleng.

"Namun, ia masih dalam proses kajian dan kita mahu mengangkat seni itu bagi memperkenalkannya kepada generasi muda.

"Justeru, saya turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan negeri mempelajari semua seni warisan itu bagi mempromosikannya kepada umum terutama pelancong luar negara," tambahnya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.