Media

Peristiwa
17/10/23
Selangor

Selangor Kini: Peruntuk lebih RM21 juta bantu 4,321 penjaja, usahawan dalam tempoh 10 tahun


SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Selangor membelanjakan lebih RM21 juta bagi melaksanakan program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dalam tempoh sedekad sejak 2013.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata jumlah itu memanfaatkan 4,321 peserta terdiri daripada usahawan dan penjaja kecil yang menerima bantuan perkakas niaga.

“Setiap tahun kira-kira RM2 juta diperuntuk untuk melaksanakan program bantuan ini dengan peserta diberi perkakas atau mesin berniaga mengikut perusahaan yang dijalankan.

“Tahun ini sahaja 334 peserta berpendapatan bawah RM3,000 mendapat manfaat itu berbanding 236 tahun lepas. Esok kita juga akan buat lagi serahan bantuan di Banting,” katanya hari ini.


Bercakap pada sidang media di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini, beliau berharap peruntukan bagi tujuan itu diteruskan melalui Belanjawan Selangor yang akan dibentang bulan depan.

“Pemberian alatan ini sememangnya banyak manfaat buat peniaga kecil. Kita lihat ia beri impak positif terhadap taraf ekonomi mereka sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan di Selangor.

“Jadi tiada masalah untuk kita teruskan. Kita akan bincang di peringkat bajet dan teliti semula untuk teruskan dengan peruntukan yang lebih,” katanya.

Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai program dengan dana besar bagi membantu peniaga memulakan dan mengembangkan perniagaan termasuk menganjurkan kursus memperkasa usahawan.

Bantuan berbentuk peralatan atau mesin niaga juga diwujudkan khusus untuk membantu penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di negeri ini.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.