Sinar Harian: Penjawat awam Selangor wajar terima insentif setanding pencapaian negeri

BANTING - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membayangkan penjawat awam negeri itu bakal menerima insentif setanding pencapaian kerajaan negeri yang dijangka diumumkan pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024, November ini.
Amirudin berkata, kerajaan negeri mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM2 bilion pada Ogos lepas.
"Alhamdulillah, tahun ini sasaran kutipan hasil negeri berjaya dicapai seawal bulan Ogos dan saya percaya penjawat awam negeri Selangor wajar menerima insentif yang setanding dengan pencapaian mereka.
"(Insentif) negeri Selangor tunggulah, tunggu pengumuman pada November," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri Selangor di IJM Rimbayu pada Sabtu.