Media

Peristiwa
25/9/23
Selangor

Sinar Harian: Pematuhan penunggang motosikal meningkat di Selangor

KUALA LUMPUR - Kadar pematuhan penunggang motosikal di Selangor meningkat dalam tempoh tiga minggu sepanjang pelaksanaan Op Khas Motosikal sejak 1 September lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, minggu pertama pelaksanaan operasi itu menyaksikan 50 peratus penunggang motosikal mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Menurutnya, ia bertambah 10 peratus dan meningkat kepada 60 peratus pematuhannya pada minggu ketiga iaitu dalam tempoh 21 hari sahaja.

"Selain itu, JPJ Selangor juga berjaya mengesan 6,398 kesalahan tiada insurans kenderaan serta 4,535 tiada lesen memandu semasa pemeriksaan dalam tempoh berkenaan," katanya dalam sidang akhbar Op Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar pada Jumaat.

JPJ melaksanakan Op Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar, pada Jumaat bersama PDRM, AADK dan JAS.

JPJ melaksanakan Op Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar, pada Jumaat bersama PDRM, AADK dan JAS.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 1,038 motosikal telah disita kerana diklasifikasikan sebagai tidak selamat digunakan di atas jalan raya.

Mengulas mengenai operasi pada jam 8.30 malam di Plaza Tol Awan Besar yang turut membabitkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS), Aedy Fadly berkata, sebanyak 1,458 kenderaan telah diperiksa.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 856 notis saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

"Jika kita lihat dalam operasi malam ini, jenis kesalahan yang paling banyak dikesan dan diambil tindakan oleh JPJ adalah membabitkan pengguna yang tidak memiliki lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan iaitu sebanyak 281 kes," ujarnya.

Jelas beliau, Op Bersepadu ini dijalankan bagi mengesan pemandu yang menggunakan barang terlarang seperti dadah, kenderaan yang diguna untuk tujuan jenayah selain meningkat kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Tambahnya, tindakan JPJ menguatkuasakan undang-undang terutama tiada cukai jalan dan lesen memandu adalah demi kebaikan semua pihak.

"Ia bertujuan untuk mengelakkan daripada pengguna jalan raya yang tidak bersalah menjadi mangsa kemalangan yang bukan kesalahan dia sendiri," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.